LOKASI kejadian ibu dan anak yang ditemui meninggal dunia dalam kereta di hadapan sebuah sekolah di Bandar Baru Uda, malam tadi. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Johor Bahru: Ibu dan anak ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta BMW yang diparkir di tepi jalan hadapan sebuah sekolah dekat Bandar Baru Uda (BBU) di sini, malam tadi.
Wanita berusia 44 tahun itu ditemui orang awam kira-kira jam 9 malam tadi dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kereta itu bersama anak bongsunya perempuannya berusia 14 tahun.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 10 malam tadi.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini bagi tujuan bedah siasat.
"Setakat ini, kita mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan masih menunggu keputusan bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Balveer Singh berkata, hasil siasatan awal, pihaknya percaya kejadian berlaku akibat kebocoran saluran petrol di bahagian enjin, sekali gus menyebabkan pemeluwapan dan memasuki saluran pendingin hawa kereta berkenaan.
"Maklumat kita dapat berdasarkan siasatan awal, kita lihat menerusi perbualan terakhir mangsa di kumpulan WhatsApp bersama kawannya, mangsa memaklumkan dia baru selesai membeli-belah di kawasan sekitar BBU dan berhenti sekejap di lokasi kejadian kerana tidak berapa sihat.
"Mangsa yang mempunyai tiga anak tinggal di Bakar Batu di sini," katanya yang mengesahkan ketika mayat ditemui, enjin kenderaan itu masih hidup.
Pada masa sama, Balveer Singh memohon memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut termasuk menyemak rekod kesihatan mangsa. Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
|