PAULO Alberto da Silva Costa. FOTO Agensi
Brasilia: Malang nasib seorang lelaki dari Brazil yang meringkuk dalam penjara selama tiga tahun sebelum dibebaskan selepas Mahkamah Agung Brazil mendapati pertuduhan ke atasnya adalah satu kesilapan.
The Guardian melaporkan, Paulo Alberto da Silva Costa bekerja sebagai penjaga pintu di Rio de Janeiro selepas ditangkap pada 2020.
Costa ditahan kerana disyaki menjadi suspek dalam 62 pertuduhan jenayah yang hampir kesemuanya adalah kecurian, tetapi terdapat juga dua kes pembunuhan.
Gambar yang digunakan oleh polis ke atasnya adalah swafoto yang diambil daripada akaun Facebook (Fb).
Sehingga hari ini, masih tidak jelas bagaimana gambar seorang lelaki tanpa sebarang rekod jenayah berakhir dalam apa yang dipanggil 'album suspek'. "Apa yang mereka lakukan kepada saya adalah pengecut.
"Mereka memusnahkan hidup saya kerana saya berkulit hitam dan miskin," kata Costa, 37, yang tinggal di Belford Roxo, sebuah bandar miskin di pinggir Rio de Janeiro.
Terdapat satu elemen biasa dalam setiap kes, yang mana ia bergantung semata-mata pada fakta bahawa seorang saksi atau mangsa ditunjukkan gambar Costa, dan mengenal pasti dia sebagai suspek.
Prosedur sedemikian sudah lama diketahui mencerminkan sikap berat sebelah perkauman dan membawa kepada kegagalan dalam sistem keadilan tetapi masih biasa digunakan oleh polis Brazil, dan membawa kepada sabitan salah terutamanya orang kulit hitam seperti Costa.
Walaupun jumlah pertuduhan yang banyak menjadikan kesnya menonjol, ia bukan perkara biasa dalam sistem kehakiman Brazil.
Mei lalu, seorang lelaki kulit hitam dijatuhi hukuman penjara 170 tahun selepas disabitkan bersalah berdasarkan pengenalan gambar, namun dibebaskan selepas menghabiskan 12 tahun di penjara.
Pada 2023, mahkamah agung membatalkan 377 sabitan atau tangkapan yang salah yang mana bukti tunggal adalah pengecaman oleh mangsa, sama ada melalui gambar atau secara peribadi.
|