Parlimen Singapura lulus undnag-undang baharu sekat kegiatan penipuan dalam talian. - Foto AGENSI
SINGAPURA: Singapura meluluskan undang-undang yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk memberi kuasa kepada polis mengawal akaun bank seseorang jika ada bukti individu itu ditipu.
Undang-undang itu, diluluskan semalam, dipercayai yang pertama seumpamanya di dunia.
Ia membenarkan polis dan pegawai jabatan hal ehwal komersial serta agensi penyiasatan jenayah kolar putih, mengeluarkan perintah sekatan terhadap urus niaga bank, jika terdapat bukti kukuh pemegang akaun akan memindahkan wang kepada penipu, biarpun dengan rela hati.
Individu yang dikenakan perintah sekatan akan disekat akaun bank serta akses ATM dan kemudahan kredit mereka, namun masih boleh mengeluarkan dana untuk perbelanjaan hidup harian, membayar bil perubatan atau membayar premium insurans.
Hasratnya untuk memberi lebih banyak masa kepada polis membabitkan diri dan meyakinkan individu itu bahawa dia ditipu, termasuk keperluan mendapatkan bantuan ahli keluarganya," kata Menteri Dalam Negeri, Sun Xueling kepada Parlimen.
Beliau berkata, perintah sekatan hanya akan dikeluarkan sebagai pilihan terakhir, jika semua usaha lain untuk meyakinkan individu terbabit sudah gagal.
Perintah itu hanya dikeluarkan buat sementara waktu untuk maksimum 30 hari pada peringkat awal dan diperbaharui sehingga lima kali jika perlu.
Katanya, perlindungan sedia ada masih tidak mencukupi, kerana pemindahan meragukan menyumbang 86 peratus daripada semua laporan penipuan dan 94 peratus kerugian dari Januari-September tahun lalu.
Penganalisis politik, Eugene Tan memberitahu tidak mengetahui sama ada negara lain juga mempunyai undang-undang sama.
"Ini perundangan yang unik, direka untuk keadaan khusus Singapura," katanya yang juga profesor madya undang-undang di Universiti Pengurusan Singapura.
Ahli Parlimen Pembangkang, Jamus Lim dari Parti Pekerja membangkitkan kebimbangan mengenai bagaimana perundangan itu boleh mengakibatkan pencerobohan ketara ke dalam transaksi persendirian, namun menyokong rang undang-undang itu.
Dalam pada itu, Xueling berkata, situasi penipuan terus membimbangkan, memetik data awal menunjukkan kes mungkin meningkat sebanyak 10 peratus pada 2024 berbanding 2023, dengan kerugian meningkat sebanyak 40 peratus.
Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan pada November lalu memaklumkan kerugian angkara penipuan adalah berjumlah SG$650 juta (RM2.14 bilion) pada 2023.
Tan berkata biarpun undang-undang boleh kelihatan menghalang, kerajaan melihat kes penipuan sebagai ancaman sosial yang membebankan masyarakat dan keluarga mangsa.
"Masalah penipuan berada di puncak krisis, biarpun kita belum merasainya," katanya.
|