Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan meninjau lokasi tumpahan minyak di Pantai Sea View, Port Dickson. FOTO Ihsan Pejabat YB
Port Dickson: Pusat peranginan di sini, tercemar susulan berlakunya pencemaran dan tumpahan minyak di pantai Sea View di sini.
Dalam kejadian jam 1.53 petang semalam, pihak berkuasa termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil tindakan selepas menerima aduan awam.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, wujud aliran minyak ke laut akibat masalah mekanikal 'sump pit oil interceptor' tidak diselenggara baik.
"Keadaan ini menyebabkan aliran minyak ke saluran kecemasan serta berlaku tumpahan minyak," katanya.
Katanya, pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) memulakan operasi rumah pam bagi mengelakkan kejadian ini berulang selain menghentikan aliran keluar ke laut.
"Saya dimaklumkan, pihak JASNS juga akan memantau lokasi ini bagi mengawal sebarang kemungkinan jika keadaan sama berulang," ujarnya.
Veerapan berkata, beliau juga menegaskan semua pihak supaya berganding bahu bagi menangani isu ini yang boleh menjejaskan kehidupan laut.
"Tindakan tegas boleh diambil mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) jika ada pihak melanggar syarat ditetapkan," katanya.
|