|
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 46 kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal sepanjang empat hari penganjuran Program RXZ Members 8.0 termasuk 11 kemalangan maut.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, berkata statistik itu direkodkan dalam tempoh 30 Julai hingga 2 Ogos lalu. Beliau berkata, daripada keseluruhan kes, 11 atau 23.91 peratus membabitkan kemalangan maut, lima kes (10.87 peratus) kemalangan parah dan 30 kes (65.22 peratus) kemalangan ringan. "Mengikut pecahan harian, empat kes direkodkan pada 30 Julai, diikuti 16 kes pada 31 Julai, 11 kes pada 1 Ogos dan 15 kes pada 2 Ogos. "Analisis profil umur menunjukkan golongan berusia 21 hingga 30 tahun mencatat penglibatan tertinggi iaitu 19 orang atau 41.30 peratus, diikuti kumpulan umur 18 hingga 20 tahun (10 orang), 41 hingga 50 tahun (sembilan orang) dan 31 hingga 40 tahun (lapan orang)," katanya dalam kenyataan hari ini. Hasbullah berkata, majoriti mangsa adalah lelaki membabitkan 44 orang atau 95.65 peratus, manakala dua lagi adalah wanita. Beliau berkata kemalangan langgar belakang merekodkan jumlah tertinggi dengan 21 kes, diikuti terbabas sendiri (15 kes), langgar sebelah tepi (tujuh kes) dan bergesel (tiga kes). Beliau berkata, semua 11 kes kemalangan maut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala lima kes kemalangan parah disiasat mengikut Seksyen 43(1) akta sama, sementara kemalangan ringan disiasat mengikut peruntukan kaedah-kaedah lalu lintas yang berkaitan. Katanya, JSPT memandang serius peningkatan kemalangan maut dan parah, khususnya membabitkan penunggang motosikal muda. Antara punca dikenal pasti ialah kecuaian, gagal mengawal motosikal, mengekori kenderaan terlalu rapat dan menunggang secara tidak selamat sehingga membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain. Sehubungan itu, beliau menyarankan penganjur program bermotosikal menyediakan pelan pergerakan yang tersusun, memberi taklimat keselamatan serta bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko kemalangan. Pada masa sama, JSPT akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan lalu lintas yang membahayakan pengguna jalan raya. "Jangan jadikan keseronokan dan keterujaan menyertai sesuatu program sebagai alasan untuk mengabaikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain," katanya.
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
10-8-2026 09:25 PM GMT+8 , Processed in 0.092768 second(s), 31 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.