|
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, hari ini mengadakan pertemuan dengan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Hamzah berkongsi gambar pertemuan itu menerusi hantaran di Facebook dengan memaklumkan mereka mengadakan makan tengah hari bersama. Dalam hantaran sama, beliau menyifatkan Rafidah sebagai tokoh yang terkenal dengan ketegasan, kelantangan dan kepimpinan berprinsip sehingga digelar 'The Iron Lady'. "Makan tengah hari bersama seorang tokoh yang terkenal dengan ketegasan, kelantangan dan kepimpinan berprinsip, Tan Sri Rafidah Aziz yang digelar The Iron Lady serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar," katanya. Bagaimanapun, Hamzah tidak mendedahkan tujuan pertemuan itu mahupun perkara yang dibincangkan. Pertemuan berkenaan menarik perhatian kerana menghimpunkan tiga tokoh yang mempunyai pengaruh dalam landskap politik dan pentadbiran negara, dengan Ahmad Samsuri kini sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), manakala Rafidah pula sering mengemukakan pandangan mengenai isu ekonomi, tadbir urus dan dasar awam. Dalam pada itu, sumber memaklumkan pertemuan itu hanya sekadar makan tengah hari bersama dan tiada perbincangan lanjut mengenai isu ekonomi mahupun politik negara. Sumber berkata, Hamzah sudah bersahabat baik dengan Rafidah sebelum beliau bergelar ahli Parlimen.
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
10-8-2026 10:15 PM GMT+8 , Processed in 0.032503 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.