CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Wartawan Palestin Terbunuh Di Gaza, Angka Korban Meningkat Kepada 262

9-4-2026 04:14 PM| Diterbitkan: CARI-MAL| Dilihat: 1333| Komen: 0

  



ISTANBUL, 9 April (Bernama) -- Seorang wartawan Palestin yang bertugas dengan rangkaian televisyen Al Jazeera Qatar terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza pada Rabu, menjadikan jumlah wartawan yang terkorban sejak Oktober 2023 meningkat kepada 262 orang, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik pihak berkuasa tempatan.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Media Kerajaan Gaza menyatakan pembunuhan Mohammed Wishah iaitu wartawan Al Jazeera Mubasher, mencerminkan 'penyasaran dan pembunuhan secara sistematik' terhadap wartawan Palestin oleh Israel.

Pada Rabu, Pertahanan Awam Gaza memaklumkan bahawa pasukannya menemukan mayat dua rakyat Palestin termasuk Wishah, selepas sebuah kenderaan awam disasarkan dalam serangan udara Israel di barat daya Bandar Gaza.

Sumber perubatan Palestin mendedahkan bahawa kedua-dua mayat itu, bersama seorang wanita yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Al-Quds di Bandar Gaza.

Pejabat itu turut menyenaraikan 'Israel, pentadbiran AS dan negara-negara yang terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai itu' sebagai pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian berkenaan.

Ia menggesa Persekutuan Wartawan Antarabangsa, Kesatuan Wartawan Arab dan pertubuhan media global supaya 'mengutuk jenayah sistematik terhadap wartawan Palestin dan petugas media di Semenanjung Gaza.'

Pejabat itu turut menyeru masyarakat antarabangsa serta organisasi berkaitan supaya menghentikan serangan berulang berkenaan, membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan di mahkamah antarabangsa, serta memberi tekanan serius dan berkesan untuk menghentikan jenayah pembunuhan beramai-ramai, selain melindungi wartawan di Gaza.

Lebih 72,000 orang terbunuh manakala lebih 171,000 lagi cedera dalam perang Israel di Gaza sejak Oktober 2023.

Serangan itu dihentikan menerusi gencatan senjata yang disokong AS dan mula berkuat kuasa pada Oktober tahun lepas. Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 733 rakyat Palestin terbunuh dan 2,034 lagi cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata itu dikuat kuasa.


Sumber - BERNAMA

 
 


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-5-2026 09:42 PM GMT+8 , Processed in 0.033671 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top