|
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengadakan perbincangan berprofil tinggi dengan Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte, dengan Rumah Putih memaklumkan beliau akan membincangkan kemungkinan AS keluar daripada pakatan itu susulan kegagalan NATO menyertai perang menentang Iran.
Menurut laporan The Wall Street Journal, Trump turut mempertimbangkan tindakan menghukum beberapa negara anggota NATO yang disifatkan tidak banyak membantu sepanjang konflik berkenaan, termasuk cadangan memindahkan tentera AS keluar dari negara terbabit. Rutte, bekas Perdana Menteri Belanda yang digelar “Trump whisperer” kerana kebolehannya menenangkan pemimpin AS itu, dilaporkan memasuki Sayap Barat melalui pintu sisi sebelum pertemuan berlangsung secara tertutup. Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, tindakan NATO yang dilihat tidak memihak kepada AS sepanjang konflik itu amat mengecewakan. “Agak menyedihkan apabila NATO membelakangkan rakyat Amerika sepanjang enam minggu lalu, sedangkan rakyat Amerika yang telah membiayai pertahanan mereka,” katanya kepada pemberita. Beliau turut mengesahkan bahawa isu pengunduran AS daripada NATO merupakan antara perkara yang akan dibincangkan oleh Trump dalam pertemuan tersebut. “Itu sesuatu yang telah dibincangkan oleh Presiden, dan saya fikir ia juga sesuatu yang akan dibincangkan oleh Presiden dalam beberapa jam lagi bersama Setiausaha Agung Rutte,” jelasnya. Pertemuan itu diadakan sehari selepas AS dan Iran bersetuju dengan gencatan senjata rapuh selama dua minggu, ketika Trump terus menyuarakan kemarahan terhadap sekutu Barat serta mengkritik beberapa pemimpin NATO, termasuk Perdana Menteri Britain, Keir Starmer. Sumber :– Buletin TV3
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
14-5-2026 09:12 PM GMT+8 , Processed in 0.038259 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.