|
LONDON: Tentera dan peneroka haram Israel menyerang sumber dan infrastruktur bekalan air di Palestin lebih 250 kali dalam tempoh lima tahun. Penemuan mengejutkan itu diterbitkan dalam kajian oleh Pacific Institute yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat mendedahkan pola sistematik menjadikan air sebagai senjata perang. Kajian itu turut mendapati, sejak Januari 2024, infrastruktur air di Gaza dan Tebing Barat menjadi sasaran bom rejim Israel sebanyak 90 kali, selain mengesan kes keracunan air yang disengajakan. Ia sekali gus menyaksikan 90 peratus daripada keseluruhan infrastruktur air di Gaza dirosakkan atau dimusnahkan oleh Israel dalam tempoh dua tahun. Tentera Israel juga dilaporkan menyekat akses awam ke banyak kawasan yang masih mempunyai bekalan air selamat. Statistik menunjukkan bahawa lebih 1,000 rakyat Palestin terkorban di Gaza ketika mencari bantuan akibat kekurangan teruk makanan, air, dan perubatan.
Kajian itu turut merekodkan beberapa serangan ke atas rakyat Palestin yang cuba mendapatkan air, antaranya, lapan individu maut akibat tembakan penembak tepat pada Februari 2024. Selain itu, pada April tahun ini, beberapa siri serangan udara tentera Israel di Gaza merosakkan dua sekolah, mencederakan sekurang-kurangnya 100 orang, dan memusnahkan loji penyahgaraman air serta kemudahan tandas awam, menjejaskan bekalan air bersih secara meluas. Pada Julai lalu, 10 rakyat Palestin termasuk enam kanak-kanak, terkorban dan 16 lagi cedera ketika mereka sedang beratur menunggu bekalan air di pusat pengagihan di Kem Pelarian Nuseirat. Keadaan itu mendorong sekumpulan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara terbuka menuduh Israel menggunakan bekalan air sebagai senjata perang. Tindakan menafikan akses kepada bekalan air adalah pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan jenayah perang di bawah Konvensyen Geneva. PBB menegaskan bahawa akses kepada air minum yang selamat dan berpatutan diiktiraf sebagai hak asasi manusia sejagat. Pelapor Khas PBB, Pedro Arrojo-Agudo, berkata Israel secara sistematik menggunakan bekalan air untuk memindahkan dan mengasingkan penduduk Palestin di wilayah mereka sendiri yang diduduki secara haram sejak 1967, sebagai sebahagian daripada strategi penjajahan progresif. Beliau menegaskan amalan tersebut, terutamanya di Gaza, didokumentasikan sebagai pola tingkah laku yang juga jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, dan merupakan sebahagian penting daripada strategi genosid. - AGENSI Sumber - BH |
ADVERTISEMENT