|
BANGI: Tindakan Kerajaan Persekutuan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 di negeri berkenaan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri, berkata kerajaan mengambil tindakan sewajarnya melalui berbelas kali mesyuarat yang dipengerusikannya dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur sebelum mencapai keputusan berkenaan. "Keputusan itu adalah kolektif, melalui berbelas kali mesyuarat dengan saya sendiri mempengerusikannya serta juga dipengerusikan Datuk Seri Fadillah di Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Konvensyen Pengajian Islam Institut Pengajian Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Timbalannya, Dr Zulkifli Hasan; Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof Emeritus Dr Mohamad Abd Razak dan Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim. Dalam kenyataan sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan Kerajaan Persekutuan tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah, sebaliknya akan memulakan rundingan segera bersama kerajaan negeri berkenaan. AGC turut memaklumkan, nasihat undang-undang telah diberikan kepada Jemaah Menteri berkaitan kecacatan dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi, antara lain penghakiman didakwa mengandungi tuduhan berat terhadap kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah termasuk dakwaan bahawa kedua-dua pihak telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan sejak 1974. Alasan penghakiman juga menyatakan bahawa kajian semula selepas 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan prosedur dan tidak berkadaran. Justeru, kerajaan Persekutuan memutuskan untuk merayu terhadap kecacatan dalam alasan penghakiman, walaupun tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan keseluruhan. Sumber - BH |
ADVERTISEMENT