CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Kerajaan gagal tangguh bayar RM1.1 juta kepada keluarga model Belanda mendiang Ivana Esther Robert Smit

13-11-2025 02:18 PM| Diterbitkan: CARI-MRO| Dilihat: 280| Komen: 0

 


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi berjumlah RM1.1 juta kepada ibu model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit yang ditemukan maut di tingkat enam sebuah kondominium lapan tahun lalu.

Pada 29 Julai lalu, Hakim Roz Mawar Rozain memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi itu selepas membenarkan saman yang dikemukakan Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, berikutan mahkamah mendapati terdapat kecuaian polis dalam mengendalikan siasatan kematian anak perempuannya pada 2017.

Dalam keputusan hari ini, Roz Mawar memerintahkan kerajaan mendepositkan jumlah ganti rugi itu bersama faedah terkumpul, ke dalam akaun amanah selewat-lewatnya hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan kerajaan membayar kos sebanyak RM8,000.

Kerajaan memohon untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman sementara ia merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.


Terdapat pelanggaran tanggungjawab pihak berkuasa

Melalui penghakimannya dalam kes saman terbabit, Roz Mawar juga memutuskan terdapat pelanggaran tanggungjawab penjagaan oleh pihak berkuasa, termasuk kegagalan dalam pengurusan tempat kejadian jenayah, pemeliharaan bukti dan prosedur forensik.

Tuntutan saman itu difailkan Verstappen yang menamakan Ketua Polis Negara; Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Faizal Abdullah; Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia dengan mendakwa mereka melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya.

Dalam penyataan tuntutan, Verstappen berkata, anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu ditemukan maut selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Roz Mawar dalam penghakimannya, mengisytiharkan bahawa defendan telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2019.

Hakim Collin Lawrance ketepikan keputusan Mahkamah Koroner

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner yang memutuskan kes itu sebagai 'insiden malang' dan menggantikannya dengan 'kematian yang disebabkan seorang individu atau beberapa individu yang tidak dikenali'.

Sequerah kemudian memerintahkan Peguam Negara mengarahkan polis memulakan siasatan.

Sementara itu, Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Verstappen berkata, beliau bimbang dan kecewa dengan kegagalan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mematuhi arahan Mahkamah Tinggi bagi membuka semula dan menjalankan siasatan semula berhubung kematian mendiang.

Dalam satu kenyataan akhbar, Nair berkata, mahkamah mengeluarkan penghakiman penting yang mendapati polis cuai dalam menjalankan siasatan kematian mendiang dan turut menyatakan bahawa wujud kegagalan institusi yang serius.

Mahkamah telah memerintahkan PDRM untuk memulakan semula siasatan dan mengemukakan laporan kemajuan siasatan setiap tiga bulan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Walaupun perintah mahkamah itu jelas, didapati bahawa tiada siasatan semula yang bermakna telah dijalankan, dan arahan mahkamah telah diabaikan.

"Ketidakpatuhan yang begitu nyata ini bukan sahaja adalah penghinaan terhadap mahkamah, tetapi juga mencerminkan pelanggaran asas terhadap kedaulatan undang-undang dan kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang negara," katanya.

Menurut Verstappen dalam pernyataan tuntutan beliau, defendan membuka kertas siasatan mengikut laporan kematian mengejut pada 7 Disember 2017 dan menutup kes itu, selepas merumuskan sebagai mati mengejut atau bunuh diri.

Plaintif berkata, beliau tidak boleh menerima rumusan itu kerana perkara berkenaan amat sukar dipercayai dan terkejut dengan tindakan defendan yang hanya membuka kertas siasatan mengikut laporan kematian mengejut.

Susulan itu, Verstappen mendakwa tindakan defendan ialah perlanggaran jelas prosedur operasi standard (SOP) dan amalan terbaik dalam siasatan polis.

Koroner kata insiden malang

Beliau berkata, AGC kemudian mengarahkan satu inkues diadakan bagi menentukan punca kematian anaknya dan pada 8 Mac 2019, Koroner Mahyon Talib memutuskan kes itu sebagai satu 'insiden malang'.

Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner, Verstappen mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan pada 22 November 2019, Hakim Sequerah mengetepikan keputusan berkenaan.

Beliau mendakwa, defendan gagal atau cuai dalam menjalankan kewajipan statutori mereka secara sengaja atau sebaliknya dan melanggar kewajipan statutori mereka terhadap mangsa serta plaintif.


Sumber - BH

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

13-12-2025 11:20 AM GMT+8 , Processed in 0.041037 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top