|
WASHINGTON – Presiden Donald Trump menyatakan bahawa rakyat Amerika Syarikat (AS) akan menerima sekurang-kurangnya AS$2,000 (RM8,300) seorang daripada hasil kenaikan tarif meskipun pemberian itu mungkin memerlukan kelulusan Kongres, lapor laman berita TRT World kelmarin. “Dividen sekurang-kurangnya AS$2000 seorang (tidak termasuk individu berpendapatan tinggi) akan dibayar kepada semua orang,” kata Trump di platform Truth Social. Pengumuman itu dibuat ketika Mahkamah Agung mempersoalkan kempen tarif beliau dan di tengah-tengah penutupan kerajaan yang mengganggu pembayaran bantuan makanan. Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent kemudian berkata: “Dividen AS$2,000 itu boleh datang dalam pelbagai bentuk.” Menurutnya, ia mungkin datang dalam bentuk pengurangan cukai termasuk tiada cukai ke atas tip dan kerja lebih masa. Trump mempertahankan dasar perdagangannya dengan berkata: “Orang yang menentang tarif adalah bodoh! Kita kini negara terkaya dan paling dihormati di dunia, dengan hampir tiada inflasi dan harga pasaran saham yang mencecah rekod.” – AGENSI
|
ADVERTISEMENT