CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Selebriti Tempatan Lihat artikel

Trauma nafas terhenti ketika tidur, Zulkifli Ismail kongsi ilmu kesedaran mengenai Obstructive Sleep Apnea (OSA) yang dialami

13-6-2025 09:19 AM| Diterbitkan: CARI-HBZ| Dilihat: 337| Komen: 1

 

Pada mulanya, niat pelakon veteran Zulkifli Ismail, 62, sekadar berkongsi ilmu dan kesedaran mengenai masalah gangguan tidur atau Obstructive Sleep Apnea (OSA) yang dialami.

Jauh sekali mahu menimbulkan panik atau meraih simpati, pelakon yang popular dengan watak DSP Razlan dalam drama bersiri Gerak Khas ini terkejut melihat pelbagai reaksi selepas perkongsian dibuat di Facebook (FB) mengenai masalah itu, pada 3 Jun lalu.

Namun, Zulkifli bersyukur apabila niat utama untuk membuka mata orang ramai mengenai gejala OSA, berhasil.

Zulkifli mendakwa mengalami masalah gangguan tidur, iaitu berdengkur ketika tidur, sejak sekian lama. Namun, November lalu, beliau terpanggil untuk berkongsi mengenai masalah kesihatan bersama doktor.

Sejak Disember lalu, Zulkifli tidur menggunakan mesin Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) bagi mengatasi masalah berkenaan.


"Saya muat naik hantaran di FB untuk tujuan 'awareness' (kesedaran) kerana ramai ada masalah sama, tetapi tidak tahu dan tidak fikir ia sebagai masalah. Ramai yang fikir setakat berdengkur dalam tidur sahaja, tiada masalah.

"Namun, ada pula yang ambil ambil kesempatan dakwa saya tenat. Saya risau apabila ada orang cakap saya tenat. Tidak, saya bukan sakit tenat. Sakit saya biasa sahaja.

"Saya mengaku pada awalnya saya fikir dengkur bukan masalah sehinggalah saya buat pemeriksaan doktor," katanya kepada BH Online.

Zulkifli berkata, beliau menjalani ujian tidur di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di ibu negara, pada Disember tahun lalu dan disahkan mempunyai OSA.

"Saya pergi hospital sebab ada orang yang tidur dekat dengan saya kata mereka dengar bunyi nafas saya kuat macam orang penat. Malah, dalam telefon pun orang cakap mereka dengar saya bercakap macam sambil berlari. Bunyi nafas saya macam orang sedang naik tangga.

"Apabila saya 'shooting', juruaudio tegur bunyi nafas saya kuat. Jadi, dia minta saya kawal sikit jangan nafas kuat. Saya pula setiap tiga atau empat bulan memang ada 'appointment' dengan doktor untuk pemeriksaan biasa.

"Jadi, suatu hari, doktor tanya saya sama ada hendak kongsi apa-apa. Lalu, saya ceritakan mengenai nafas saya. Doktor periksa dan beritahu nafas saya kuat. Saya diminta jalani ujian tidur di Jabatan Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) di hospital itu," katanya.

Zulkifli yang juga bekas wartawan di Utusan Melayu dan RTM menjalani ujian tidur selama lebih kurang lapan jam sebelum disahkan menghidap OSA.

"Selepas Isyak , iaitu kira-kira jam 10 malam saya sudah mula tidur. Kemudian, pada jam enam pagi, jururawat kejutkan saya untuk solat subuh, sarapan dan pada jam 9 pagi jumpa doktor.

"Hasil ujian itu, saya diberitahu ada masalah OSA. Maknanya, banyak kali nafas saya terhenti ketika tidur. Ia berhenti kemudian sambung balik. Keadaan ini bahaya sebab doktor takut nafas saya berhenti dan tidak sambung balik. Itu yang kita ada dengar ada orang meninggal dunia dalam tidur.

"Malah, bacaan oksigen ke otak saya rendah dan jantung sangat laju. Semua itu berkaitan dengan tidur tidak nyenyak. Doktor bagi dua cadangan, pertamanya, buat pembedahan untuk tinggikan lelangit sebab keadaan ini berpunca daripada saluran pernafasan sempit atau guna mesin CPAP.

"Jadi, saya pilih guna mesin. Setiap kali hendak tidur, saya akan pasang mesin itu. Alhamdulillah, sejak pakai mesin itu saya dapat tidur nyenyak dan

apabila bangun pagi, saya segar. Semuanya kerana saya dapat tidur yang berkualiti," katanya.

Zulkifli berkata, masalah berdengkur tidak boleh dipandang ringan dan orang ramai dinasihatkan merujuk kepada pakar agar keadaan itu dapat ditangani lebih awal.

"Ada yang puncanya secara semulajadi. Saya sebenarnya sudah berdengkur lama. Arwah ayah saya pun berdengkur dan ramai ahli keluarga berdengkur, Jadi, saya fikir, biasa sahaja. Tetapi, perlu diingatkan, orang yang berdengkur belum tentu ada OSA.

"Jadi, cuba jalani pemeriksaan dahulu. Saya juga dapat tahu mesin CPAP itu boleh disewa bagi yang tidak berkemampuan. Tetapi, boleh periksa dahulu dan tanya pada doktor," katanya.

Aktif berlakon drama dan filem sejak 1980-an, antara karya dibintangi Zulkifli adalah Maria Mariana II; Pasrah; Ghazal Untuk Rabiah; Tak Ori Tapi Ok; GK3 The Movie; Saya Amat Mencintaimu; Kinta 1881; Lagenda Budak Setan 2: Katerina; Pak Pong dan banyak lagi.

Artis kelahiran Alor Setar, Kedah ini memulakan karier sebagai wartawan sekitar 1983.

Berkhidmat selama lebih dua tahun di Utusan Melayu, Zulkifli kemudian menjadi penyampai dan pengacara di RTM selama lima tahun.

Zulkifli kemudian diundang membintangi drama berjudul Basikal Ku pada 1986 selepas beberapa kali mengikuti sesi uji bakat sejak berusia 23 tahun.


Sumber:- BH

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote elnor_81 13-6-2025 09:25 AM
Cm arwah abah aku. Dpt la mesin cpap tu dr putrajaya. Klo x..brape kali eksiden terlelap mse drive.

Lihat semua komen(1)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-6-2025 09:04 PM GMT+8 , Processed in 0.046111 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top