Episod akhir drama bersiri Seribu Tahun arahan Shahrulezad Mohammedin yang tamat siarannya di Astro Ria baru-baru ini mengundang air mata di kalangan penonton.
Bukan kerana jalan cerita drama yang menampilkan lakonan hebat Emma Maembong, Azhan Rani, Noorkhiriah dan Ieda Moin semata-mata. Sebaliknya kerana tindakan Shahrulezad yang meletakkan gambar pelakon Allahyarham Benjy pada penutup drama ini.
Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim adalah pelakon drama bersiri Kerana Cintaku Saerah bergandingan dengan Umie Aida dan Azma Aizal Yusoof.
Drama arahan Shahrulezad terbitan Radius One Sdn Bhd ini disiarkan menerusi Slot Samarinda TV3 pada September 2007 dan menjadi drama popular ketika itu.
Shahrulezad melakukan 'comeback' drama Kerana Cintaku Saerah, namun mengambil tajuk lagu tema drama terbabit berjudul Seribu Tahun nyanyian Imran Ajmain sebagai judul sambungan ini.
Drama Seribu Tahun mendapat sambutan baik daripada penonton yang menanti tayangannya sehinggalah tiba episod penamat.
Sementara itu, Benjy melalui kehidupan yang tragis apabila pada 18 April 2017 ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Deli Serdang, Sumatera Utara oleh pihak kastam dan eksais republik terbabit sejurus tiba dari Kuala Lumpur.
Dia disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 4.5 gram yang disembunyikan pada bahagian duburnya.
Pada 18 Oktober 2017, beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 11 tahun tiga bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Medan, Indonesia.
Benjy meninggal dunia di Medan akibat penyakit asma pada 11 Julai 2021. Biarpun sudah tiada, Benjy kekal diingati kerana sering menampilkan lakonan yang mantap dan berkesan dalam drama yang dibintanginya.
Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|