Dua tahun lalu, hari-hari dilalui pelakon jelita, Mawar Rashid dipenuhi rasa sedih selepas terlerainya ikatan perkahwinan dengan bekas suami, Raf Yaakob.
Tidak terkira berapa banyak air mata mengalir tatkala memori duka yang tidak diingini setiap pasangan suami isteri, kembali menerpa dalam akal fikiran.
Namun, akhirnya, Mawar mampu berdamai dengan takdir dan kembali menjadi ceria biarpun masih berbekas luka di hati.
"Saya sudah lalui banyak ujian dan untuk sampai ke tahap ini perlukan banyak usaha.
"Jadi, untuk semua wanita, jangan lupa untuk lebih mencintai diri sendiri.
Kadang-kadang kita terlampau memberi kasih sayang kepada orang lain hingga bila tengok cermin, macam tak kenal dan tidak nampak diri sendiri," katanya kepada BH Online.
Memahami peranan ibu dengan tanggungjawab besar, Mawar berkata, sesekali perlu mencari masa untuk diri sendiri.
Akui Mawar, golongan ibu perlu melakukan perkara yang boleh mendatangkan keseronokan supaya dapat kembali bangkit daripada rasa sedih.
"Saya fikir sangat penting untuk seseorang wanita memberikan masa kepada diri sendiri terutama golongan ibu. Sekarang, saya sudah semakin ceria, positif dan gembira dengan hidup," katanya.
Selepas apa yang berlaku dalam hidup, Mawar percaya semuanya aturan Yang Maha Esa untuk memastikan dirinya menjadi lebih kuat dan belajar sesuatu dalam hidup.
"Saya fikir apa dilalui adalah perjalanan hidup yang sudah ditetapkan. Saya anggap ini cara untuk saya belajar daripada apa yang saya lalui sebelum ini.
"Akhirnya dengan semua ini, saya dapat jumpa jalan sepatutnya untuk dipilih dan bagaimana mahu menjadi lebih baik.
"Saya akui bukanlah manusia sempurna dan banyak lagi perlu diperbaiki. Cuma, saya mengharapkan semua mendoakan yang terbaik untuk saya dan keluarga," katanya.
Mawar pernah mendirikan rumah tangga bersama Raf atau atau nama sebenarnya, Raden Ahmad Faizal Yaakob pada 9 November 2017, namun, berpisah November 2023.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, Raden Muhammad, 6, Raden Seri Rosabella Cinta, 4, dan Raden Seri Riyanna Sayang, 2.
Mawar bakal Muncul dalam filem seram terbaharu, Nar'sata Sekutu Setan terbitan Metrowealth International Group (MIG).
Menerusi filem arahan Pierre Andre, Mawar berganding dengan Fadlan Hazim dan Trisha Ooi.
Sumber: Brita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|