PUTRAJAYA – Ahli Jawatankuasa Falak Wilayah Persekutuan, Nik Abdul Rahman Mustafa menjelaskan kekeliruan yang timbul kononnya tarikh 10 Zulhijah di Malaysia jatuh pada 6 Jun depan adalah berpunca daripada kesilapan memahami maksud terjemahan.
Menurutnya, apa yang dimaksudkan oleh Pusat Astronomi Antarabangsa (IAC) adalah ‘kebanyakan negara Arab’ akan menyambut Aidiladha pada 6 Jun ini.
“Laporan itu kemudian dipetik oleh akhbar (agensi media dan berita) Arab yang menulis dengan menyebut ‘kebanyakan negara Islam’ yang bermaksud negara-negara teluk atau Arab sahaja kerana majoriti negara-negara umat Islam berada di sana.
“Namun, apabila akhbar tempatan (Malaysia) cuba memetik berita itu, ia diterjemahkan sebagai ‘di kebanyakan negara Islam’ lalu ada orang yang faham ia (tarikh 1 Zulhijah) dekat ‘Malaysia’,” katanya ketika menyampaikan taklimat sempena cerapan 1 Zulhijah 1446H di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan IAC yang menjangkakan kebanyakan negara Islam akan menyambut Aidiladha pada 6 Jun ini.
Katanya, laporan akhbar tempatan itu menimbulkan kekecohan rakyat di negara ini sehingga Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi untuk meredakan keadaan.
Sumber: Kosmo
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|