![]()
TARIKH untuk mendaftar diri di tempat kerja baharu berbaki kurang seminggu, sekali gus membuatkan Nabiha gelisah kerana masih belum berjaya mencari rumah sewa. Pencariannya di internet langsung tidak membuahkan hasil, menyebabkan dia nekad pergi ke Semenyih untuk meninjau sendiri dengan ditemani rakan baiknya, Hana. Kira-kira empat jam berpusing-pusing di beberapa kawasan perumahan, akhirnya Nabiha berjaya menemukan sebuah rumah teres satu tingkat yang sedia untuk disewa. Nabiha bersyukur kerana urusannya seperti dipermudahkan dan selepas menghubungi nombor yang tertera pada kain rentang iklan, tuan rumah memintanya untuk datang mengambil kunci sehari sebelum dia mula bekerja. ![]()
"Sewa RM600 sebulan... rumah tiga bilik. Okaylah tu kan," kata Nabiha kepada Hana ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Banting. Dipendekkan cerita, sehari sebelum melapor diri di tempat kerja baharu, Nabiha ditemani Hana dan adiknya, Mimi kembali semula ke rumah berkenaan bersama barang-barangnya. Melangkah masuk ke dalam rumah, Nabiha mengukir senyuman kerana ruang dalamannya yang bersih, selain beberapa perabot seperti meja makan, dapur memasak, televisyen kecil, peti sejuk dan sofa sudah tersedia. "Rezeki kau Biha... boleh kata masuk cuci kaki. Cuma sunyi sikit sebab lot hujung. Rumah sebelah pula kosong," kata Hana. Malam pertama Nabiha di rumah itu berlalu seperti biasa dan dia gembira kerana ditemani adiknya dan Hana. Malam kedua, dia berseorangan kerana Hana dan Mimi sudah pulang kerana tuntutan tugas masing-masing. Ketika hampir terlelap, telinga Nabiha menangkap bunyi aneh seperti ada seseorang sedang membasuh pinggan mangkuk di dapur. ![]() Namun dia mengabaikannya kerana terlalu mengantuk tambahan pula perlu bangun awal pagi esok. Kejadian aneh terus berlaku pada malam seterusnya, kali ini bunyi tangisan bayi yang tidak berhenti sehingga mengganggu tidur Nabiha. Hampir terlewat dia masuk ke pejabat kerana terbangun sekitar pukul 7.30 pagi gara-gara tidurnya terganggu dek tangisan berkenaan. Kejadian yang dialaminya diceritakan kepada Hana dan rakan baiknya itu menyarankan supaya dia memasang peranti elektronik yang mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran. Malam itu, Nabiha tidur dengan aman bertemankan alunan zikir dan ayat suci al-Quran yang dipasang dengan kelantangan sederhana. Namun tepat pukul 4.30 pagi, Nabiha terbangun dalam keadaan terkejut dan berpeluh-peluh sambil melaung Allahuakbar berkali-kali. ![]() Dia kaku di atas tilam kerana mengingati mimpi ngeri yang baharu dialaminya sebentar tadi. Masih jelas di pandangan matanya kelibat sosok seorang nenek tua bertongkat dan berbaju lusuh berdiri di ambang pintu hadapan sambil memandangnya dengan wajah penuh bengis. Nabiha tidak mampu melelapkan mata sehingga kedengaran azan Subuh dari masjid berhampiran. Mimpi yang sama menghantuinya sekali lagi pada malam seterusnya, membuatkan Nabiha makin tidak sedap hati dan terlintas untuk mencari rumah sewa baharu. Mana tidaknya, kali ini dia perasan ada tiga tompokan lebam pada kedua-dua belah pahanya selepas bangun daripada tidur. Pada Jumaat, Nabiha bercadang mahu pulang ke rumah ibu bapanya di Banting selepas tamat waktu bekerja kerana ingin menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarga. ![]() Dia singgah ke rumah sewanya terlebih dahulu untuk mengambil pakaian dan beberapa barangan untuk dibawa bersama, selain mahu menunaikan solat Maghrib. Dari luar, Nabiha terdengar bunyi bising seperti pinggan dan mangkuk berantakan di dapur. Alangkah terkejutnya Nabiha apabila mendapati rumahnya seperti tongkang pecah, dengan kain bajunya berselerakan di ruang tamu selain perabot beralih kedudukan. Baru melangkah masuk, tidak semena-mena sebiji pinggan 'melayang' ke arahnya dari dapur, namun mujur dia ternampak dan berlari keluar meskipun lututnya seakan lemah. Sebaik saja melepasi pintu, serta-merta daun pintu terhempas kuat dan disusuli bunyi seperti hilaian tawa dari dalam rumah. Nabiha meraung sekuat hati sebelum beberapa jirannya datang menerpa dan memapahnya ke pintu pagar. Selepas salah seorang jirannya, wanita yang dalam lingkungan usia seperti neneknya membacakan ayat suci al-Quran barulah Nabiha mampu bertenang dan menceritakan apa yang berlaku dalam keadaan tersedu-sedan. ![]() "Sebenarnya, rumah ni dah bertahun kosong. Suami isteri yang menyewa sebelum awak pun kena gangguan tak sampai seminggu duduk. Bertukar-tukar penyewa banyak kali juga sebelum tu. Semuanya 'cabut' kurang seminggu. "Dengar cerita, penyewa pertamanya ada 'membela' dan rumah ni macam berpenunggu selepas dia meninggal dunia tujuh tahun lepas. Wallahualam," cerita wanita berkenaan. Malam itu juga Nabiha pulang ke Banting dan dia bertekad untuk mencari kerja baharu berhampiran kampungnya kerana trauma terkena gangguan mistik. - mStar |