![]()
Perkampungan Kabayan terletak dalam daerah Benguet di bahagian utara Filipina. Perkampungan ini terkenal dengan Kabayan Mummy Caves – sebuah gua yang mengumpulkan mumia-mumia yang diawet secara semula jadi dan juga boleh dilihat di sepanjang lereng pergunungan Kabayan. Himpunan mumia ini dipercayai mula diproses seawal tahun 2000 Sebelum Masihi sehingga kurun ke-16, apabila Sepanyol menguasai Filipina. Gua ini juga dikenali dengan nama Fire Mummies, Benguet Mummies, dan Ibaloi Mummies. Gua ini pernah dinobatkan sebagai antara 100 tempat paling berbahaya di dunia oleh Monument Watch. Dipercayai kaum Ibaloi, kaum peribumi di daerah ini yang memulakan pengawetan mayat dengan cara begini. Namun ada yang berpendapat, kaum Ibaloi hanya memulakan proses memumiakan mayat pada tahun 1200 Sebelum Masihi sehingga 1500 Sebelum Masihi.
Dikatakan proses memumiakan mayat ini bermula sebelum mayat itu menghembuskan nafas terakhir lagi. Pesakit yang mereka jangka memang akan mati akan disuruh untuk minum air garam yang sangat masin. Selepas mati, mayat mereka akan dicuci sebelum proses pengasapan dimulakan. Mayat tidak diletakkan terus ke atas api, sebaliknya hanya sekadar diasapkan saja. Tujuannya ialah untuk mengeringkan air di dalam badan. ![]() Setelah itu, asap akan ditiupkan ke dalam mulut mayat untuk mengeringkan organ dalaman pula. Proses ini biasanya memakan masa berminggu-minggu, malah boleh mencecah berbulan-bulan untuk disiapkan. Akhir sekali, mayat akan disapu dengan herba-herba terpilih. Mayat yang ditemui di gua Kabayan ini kemudiannya dimasukkan ke dalam keranda yang diperbuat daripada kayu pain, dan diletakkan di celah-celah batu, dinding gua atau kubur cetek buatan manusia. Dikatakan apabila Sepanyol mula menjajah Filipina sekitar abad ke-16, proses pemumiaan ini telah dihentikan. Pun begitu, perkuburan mumia ini kemudiannya ditemui semula pada abad ke-20 dan mula menjadi tumpuan pelancong ke Filipina. Ia dibuka secara rasmi sebagai sebuah muzium dan untuk kunjungan pelawat pada Oktober 2002. Kaum Ibaloi pada hari ini sudah tidak lagi melakukan proses pemumiaan mayat seperti ini. Namun, mereka percaya bahawa tempat tersebut merupakan sebuah tempat yang suci dan aktiviti ritual selalu dilakukan di situ. ![]() Mumia ketua yang bertatu bernama Apo Anno telah dipulangkan semula oleh pihak muzium Filipina kepada kaum Ibaloi untuk dikembalikan ke gua Kabayan. Semasa zaman penjajahan dahulu, Apo Anno pernah dirompak dan dijadikan sebagai alat dalam persembahan sarkas. ![]() |
SalenaGomez: Leceh nya lah proses lepas mat ...