![]()
KOTA BHARU – Surat saman terhadap pelakon dan pempengaruh, Rafidah Ibrahim telah disiapkan namun usaha untuk menyerahkannya masih gagal kerana individu itu dikatakan tidak dapat dikesan. Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, saman tersebut dibuat susulan dakwaan Rafidah yang menuduh beliau berhasrat memansuhkan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) serta tanah rizab Melayu di Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur sebelum ini. Menurut beliau, surat notis tuntutan (LOD) sebelum ini juga tidak dijawab oleh Rafidah dan tempoh 14 hari yang diberikan telah pun tamat. “Peguam saya, Hisham Fauzi yang berpangkalan di Kota Bharu bekerjasama dengan seorang lagi peguam di Kuala Lumpur untuk menyiapkan surat saman itu melalui mahkamah.
“Tetapi masalah kami sekarang ialah untuk mencari Rafidah. Dia ini jenis ‘pejuang’ yang sentiasa menghilangkan diri,” katanya. Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bersama Warga KADA di Lundang, di sini pada Ahad. Menurut Khalid, tindakan menyerahkan LOD sebelum ini hanya dibuat dengan meninggalkan surat di rumah sewa individu terbabit dan tiada penyerahan secara tangan berlaku. Beliau menjelaskan bahawa bagi membawa kes tersebut ke mahkamah, saman perlu diserahkan secara bersemuka kepada pihak yang dinamakan. “Sekarang ini kami sedang berusaha untuk mencarinya semula supaya saman itu dapat diserahkan secara tangan. Kami tidak menghalang dia untuk terus ‘berjuang’ atau bercakap, tetapi saman itu tetap perlu diterima, jangan ghaib. “Saya seru kepada pejuang Melayu yang ‘unggul’ ini untuk tampil ke depan dan tunjukkan keberanian menerima surat saman, jangan hanya berani di televisyen dan TikTok sahaja,” katanya. Mengulas dakwaan Rafidah bahawa kerajaan cuba mengusir orang Melayu dari bandar, Khalid menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak berasas. Katanya, projek pembangunan semula di kawasan rizab Melayu akan menambah bilangan rumah milik orang Melayu, bukannya mengurangkannya. “Kalau dahulu hanya ada 500 lot rumah, dengan pembangunan nisbah satu per sepuluh, kami boleh bina 5,000 unit kediaman dan semuanya dimiliki oleh orang Melayu juga. “Maknanya, kita bukan mahu mengusir orang Melayu, malah menambah jumlah mereka di bandar,” ujarnya. - SINAR HARIAN |
ADVERTISEMENT