UCAPAN bersempena Hari Ibu pelakon Norman Hakim buat isteri iaitu Memey Suhaiza dan bekas isterinya Abby Abadi mencuri perhatian netizen di media sosial.
Norman atau Mohamed Nurhakim Zaidon, 49, berkata, dia sangat menghargai jasa kedua-dua wanita itu lebih-lebih lagi sanggup bertarung nyawa melahirkan enam zuriatnya.
"Selamat hari ibu buat dua wanita hebat yang melahirkan dan membesarkan enam permata hidup saya.
"Kepada isteri dan mantan isteriku,ibu-ibu kepada anak-anakku, saya menghargai setiap pengorbanan, kasih sayang dan doa kalian yang tidak pernah putus untuk anak-anak kita," katanya.
Norman memberikan ucapan itu menerusi satu hantaran di Instagram miliknya pada pagi Ahad.
Berkongsi lanjut, Norman mengingatkan Memey dan Abby tentang janji mereka untuk menjadi ibu dan bapa terbaik buat anak-anak.
Malah aktor itu sempat mungucapkan ucapan terima kasih kepada Memey dan Abby kerana menjadi insan yang luar biasa dalam hidupnya walaupun ada masanya berdepan pelbagai ujian.
"Walau dilanda gempa bumi,taufan dan badai, ingat janji-janji kita untuk sentiasa bersatu dalam satu misi iaitu menjadi ibu dan bapa terbaik untuk zuriat kita.
"Sekali lagi terima kasih kerana menjadi ibu yang luar biasa.
"Semoga kasih kalian terus menjadi cahaya yang membimbing anak-anak menuju masa depan yang penuh rahmat dan kebaikan insya-Allah," jelasnya.
Untuk rekod, Norman pernah mendirikan rumah tangga dengan Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, 48, pada 2002 namun pasangan itu bercerai pada 2009.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 22, Marissa Dania Hakim, 20, dan Danisha Hakim, 17 tahun.
Norman kemudian berkahwin kali kedua dengan Memey, 37, pada September 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 12, Muhammad Dikhriz Hakim, 10, dan Mikayla Delisha Hakim yang kini berusia 7 tahun. - mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|