Kuala Lumpur: Pemilihan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai Presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) disifatkan langkah terbaik bagi memperkasakan masa depan sukan badminton negara.
Menurut Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, keputusan sebulat suara itu dibuat berdasarkan ketokohan Tengku Zafrul dalam dunia korporat dan kerajaan, menjadikannya individu paling layak untuk menerajui badan induk badminton negara.
"Kita perlukan pemimpin yang berpengalaman dalam sektor korporat dan pada masa sama, memahami struktur kerajaan. Tengku Zafrul mempunyai kedua-dua kelebihan itu. Malah, ramai penaja BAM juga mengenali beliau dengan baik," katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Tahunan BAM ke-80 di Bukit Kiara, hari ini.
Norza berkata, BAM berada dalam keadaan stabil dan kini bersedia untuk menerima kepimpinan baharu yang mampu membawa idea segar serta nilai tambah ke dalam sistem sedia ada.
"Badminton kita sudah berada di tahap baik. Dengan sokongan dua timbalan presiden yang berpengalaman, saya yakin mereka mampu membantu presiden baharu mengemudi BAM dengan lebih berkesan," katanya.
Dalam masa sama, Norza menyerahkan sepenuhnya kepada Tengku Zafrul untuk mengenal pasti jurang dalam struktur BAM agar penambahbaikan dapat dilakukan, sekali gus merealisasikan impian negara untuk merangkul pingat emas Sukan Olimpik.
"Kita perlu tahu jurang yang wujud – di mana kita berada sekarang dan ke mana hala tuju kita. Presiden baharu perlu mengisi jurang itu bagi memperkukuhkan sistem pentadbiran sedia ada.
"Untuk meraih emas Olimpik, kita perlukan perubahan paradigma, sasaran yang jelas dan hanya atlet yang benar-benar berpotensi menyumbang pingat harus berada dalam program RTG," katanya yang juga presiden kehormat badan induk berkenaan.
Sementara itu, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri memohon tempoh 100 hari untuk menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) serta merangka pelan tindakan strategik bagi memastikan pengurusan BAM terus diperkasakan dan misi emas Olimpik dapat dicapai.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|