![]()
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, dua kompaun bernilai RM500 setiap satu itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), selepas siasatan dibuat terhadap lori syarikat berkenaan susulan rakaman video insiden berkenaan tular di media sosial. "Hasil siasatan MBJB dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mendapati lokasi pembuangan sampah berkenaan adalah di persimpangan masuk ke Kampung Makmur, Plentong iaitu di Jalan Kemunting, Taman Sri Plentong. "Siasatan kemudian dijalankan terhadap lori yang terbabit dalam insiden berkenaan. "Hasilnya, pihak berkuasa telah mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya iaitu mengeluarkan dua kompaunterhadap syarikat yang terbabit di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Seksyen 47(1)(A), pagi semalam. "Selain itu, pihak SWCorp juga berhak mengambil tindakan lanjut di bawah peruntukan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, yang membolehkan kompaun bernilai lebih tinggi dikenakan serta membolehkan pihak terbabit didakwa di mahkamah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini. Semalam media melaporkan, tindakan sekumpulan lelaki yang membuang sampah ke dalam sungai dan di tepi sungai di Taman Sri Plentong, Masai di sini mengundang kecaman apabila tindakan itu berjaya dirakam pengguna jalan raya. Rakaman kamera papan pemuka kereta berdurasi 2 minit 11 saat itu dimuat naik ke akaun TikTok pengguna berkenaan sebelum ia tular. Menerusi video berkenaan, yang dipercayai direkod pada Rabu lalu, kira-kira 6.30 petang dapat dilihat seorang lelaki memakai baju bewarna merah membuang sampah dipercayai kepingan kotak ke dalam sungai. Pemandu berkenaan menegur beberapa individu yang sedang membuang dari sebuah lori yang sarat dengan muatan. Pemandu itu turut memberhentikan dan meminta sampah terbabit diambil semula, selain memberi amaran kepada pelaku bahawa dia akan melaporkan tindakan itu kepada pihak berkuasa. Sementara itu, Ling berkata, Kerajaan Johor memandang serius insiden pembuangan sampah haram oleh individu yang tidak bertanggungjawab, seperti yang tular kelmarin. "Kejadian ini bukan sahaja mencemarkan imej Johor, malah mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab yang amat dikesali. "Kita mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab ini dan ingin menegaskan bahawa mana-mana individu atau syarikat yang melanggar undang-undang berkaitan pengurusan sisa akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi. "Kerajaan Johor turut menggalakkan orang ramai untuk menyalurkan maklumat atau membuat aduan sekiranya terlihat sebarang aktiviti pembuangan sampah secara haram. Aduan boleh disalurkan terus kepada pihak berkuasa tempatan masing-masing atau kepada pihak SWCorp," katanya.
|
ADVERTISEMENT