ROM: Kardinal Robert Prevost dari Amerika Syarikat (AS) dipilih sebagai Pope ke-267 dan pemimpin tertinggi Gereja Katolik Rom. Pelantikan beliau diumumkan secara rasmi oleh seorang kardinal kanan di hadapan ribuan penganut agama itu yang berhimpun di Dataran St Peter, di sini. Dalam pengumuman tradisional "Habemus Papam", beliau telah memilih nama Pope Leo XIV sebagai gelaran pemerintahannya. Pemilihan ini menjadikan beliau sebagai Pope pertama dari Amerika Syarikat dalam sejarah Gereja Katolik. Pope Provest menggantikan Pope Francis yang meninggal dunia pada 21 April lalu pada usia 88 tahun. Dilahirkan pada 14 September 1955 di Chicago, Illinois, Prevost merupakan ahli Ordo Santo Agustinus (OSA). Beliau memperoleh ijazah sarjana muda dari Universiti Villanova pada 1977 dan kemudiannya melanjutkan pelajaran teologi di Catholic Theological Union serta Universiti Kepausan Santo Tomas Aquinas.
Pada 1985, Prevost memulakan misi pastoral di Peru, di mana beliau berkhidmat selama hampir dua dekad dalam pelbagai peranan termasuk sebagai tenaga pengajar dan pentadbir gereja. Beliau menjadi warganegara Peru dan dilantik sebagai Uskup Chiclayo dari 2015 hingga 2023. Selepas kematian Pope Francis pada 21 April lalu, konklaf Pope berlangsung selama dua hari bagi memilih pengganti mendiang. Dalam ucapan pertamanya dari balkoni Basilika Santo Petrus, Dataran St. Peter, Vatican, Pope Prevost menyampaikan mesej perdamaian dalam bahasa Itali dan Sepanyol. Pope Leo XIV dikenali sebagai tokoh yang sederhana, reformis dan berorientasikan keadilan sosial, selaras dengan visi pendahulunya, Pope Francis. Beliau dijangka meneruskan agenda reformasi dalam gereja termasuk meningkatkan penglibatan belia dan wanita, serta menangani isu-isu dalaman seperti kestabilan kewangan dan skandal penyalahgunaan kuasa. Kepimpinan beliau juga diharapkan dapat membantu merapatkan jurang perbezaan antara aliran konservatif dan progresif dalam gereja. Konklaf Pope pertama yang diadakan di Kapel Sistine adalah pada 1492 - tahun yang sama Christopher Columbus tiba di Amerika. Pada pertengahan abad ke-13, proses pemilihan Pope pernah mengambil masa hampir tiga tahun. Pada 2013, Pope Francis dipilih selepas lima undian dalam tempoh dua hari. Pope Francis meninggal dunia pada 21 April lalu selepas mengalami beberapa masalah kesihatan termasuk serangan jantung. - Agensi |
ADVERTISEMENT