KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyeru beberapa saksi termasuk anak kepada Datin Seri Pamela Ling yueh yang berada di Singapura agar tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kesemua individu membabitkan anak-anak Pamela serta beberapa individu yang tidak boleh didedahkan.
“Prosesnya mudah, kalau boleh datanglah kepada kita, di Kuala Lumpur dan Johor Bharu, kita boleh ambil (ambil keterangan) di sini.
“(Keterangan) juga boleh diambil di pejabat (Kedutaan Malaysia di Singapura),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya saksi gagal memberikan kerjasama, pihak polis terpaksa mendapatkan bantuan pihak berkuasa Singapura.
“Kita juga boleh hantar pegawai ke Singapura untuk mendapatkan apa-apa keterangan diperlukan,” jelasnya.
Mengulas mengenai lakaran wajah suspek terlibat dalam penculikan Pamela, Rusdi, berkata, hanya satu lakaran wajah telah disiapkan.
“Namun, kualiti lakaran hanya 40 peratus tepat. Jadi kita simpan dulu sekiranya tiada sebarang perkembangan, kita akan siarkan,” jelasnya.
Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing bagi memberikan keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada 9 April lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan masih berjalan dan setakat ini pihaknya tidak menolak kemungkinan suami kepada wanita terbabit adalah suspek selain beberapa individu lain.
Setakat ini seramai 16 individu telah diambil keterangan termasuk suami Pamela. – KOSMO! ONLINE
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|