GOUT adalah masalah kesihatan yang berkaitan dengan sendi iaitu radang sendi menyakitkan. Penyakit ini berlaku akibat pengumpulan asid urik berlebihan dalam badan, lalu membentuk kristal urate di sekitar sendi. Keadaan ini menyebabkan rasa sakit amat sangat, bengkak, dan kemerahan pada kawasan sendi, terutamanya ibu jari kaki. Pemakanan tidak seimbang sering dikaitkan dengan penyakit gout, kerana pengambilan makanan tertentu yang tidak dikawal boleh meningkatkan pengumpulan asid urik. Oleh itu, penting untuk masyarakat memahami kaitan antara pemakanan dan gout, serta mengenal pasti jenis makanan perlu dielakkan bagi mengurangkan risiko serangan. Salah satu faktor utama menyumbang kepada peningkatan paras asid urik dalam badan ialah pengambilan makanan yang tinggi purina.
Purina ialah sebatian semula jadi yang terdapat dalam banyak jenis makanan, dan apabila diuraikan oleh tubuh, ia menghasilkan asid urik. Oleh itu, pesakit gout dinasihat mengelakkan makanan laut seperti sotong, ketam, udang dan kerang kerana makanan ini mengandungi purina yang tinggi. Selain itu, organ dalaman haiwan seperti hati, limpa, dan paru juga perlu dielakkan kerana kandungan purina yang sangat tinggi. Makanan berprotein tinggi seperti daging merah dan ayam juga harus diambil secara sederhana. Pengambilan protein berlebihan boleh meningkatkan penghasilan asid urik dalam badan. Pengambilan makanan berlemak seperti makanan bergoreng, makanan segera dan produk tenusu penuh lemak turut boleh memburukkan keadaan kerana ia mengganggu proses penyingkiran asid urik oleh buah pinggang. Oleh itu, pesakit gout digalakkan memilih sumber protein lebih sihat seperti ikan putih, kekacang, dan produk tenusu rendah lemak. Minuman juga penting dalam pengurusan gout. Minuman beralkohol, terutama bir, terkenal sebagai pencetus utama serangan gout kerana ia mengandungi purina dan mengganggu perkumuhan asid urik. Selain itu, minuman bergula seperti minuman ringan dan jus buah komersial yang mengandungi fruktosa tinggi juga perlu dielakkan kerana fruktosa dapat merangsang penghasilan asid urik. Sebagai alternatif, pesakit gout disaran, memperbanyakkan pengambilan air kosong bagi membantu menyingkirkan asid urik secara lebih efisien melalui air kencing. Bagaimanapun, bukan semua makanan perlu dielakkan secara mutlak. Terdapat juga makanan yang boleh membantu mengurangkan kadar asid urik dalam badan, contohnya buah ceri, sayur-sayuran berdaun hijau, bijirin penuh, dan vitamin C semula jadi. Pemakanan yang seimbang, aktiviti fizikal konsisten, serta pengawalan berat badan yang ideal turut membantu mengurangkan risiko serangan gout dan meningkatkan kualiti hidup pesakit. Pemahaman mengenai pemakanan yang sesuai da perlu dielakkan amat penting dalam pengurusan penyakit gout. Dengan pengambilan makanan yang betul, ditambah dengan gaya hidup sihat dan rawatan perubatan yang teratur, pesakit gout dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa dan produktif. Oleh itu, masyarakat perlulah lebih peka terhadap aspek pemakanan sihat agar penyakit ini dapat dicegah atau dikawal dengan lebih berkesan. - HARIAN METRO |
acikonion replied at 8-5-2025 08:40 AM
Bapa aku mkn seafood ok... Tp mkn daging wpun secebis terus keluar gout