Pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura kelihatan tenang menjalani kehidupannya meskipun berdepan kontroversi berhubung dakwaan kegagalan membayar hutang berjumlah RM4.65 juta kepada sebuah syarikat.
Tinjauan di media sosial mendapati Fazura, 41, pagi ini memuat naik beberapa hantaran di Instagram yang memaparkan sokongan berterusan terhadap Palestin, selain berkongsi momen bahagia bersama puteri tunggalnya, Nur Fatima Aisya.
Walaupun berdepan ujian hebat, sehingga kini Fazura masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung tuntutan itu setakat ini.
Ia sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat dan netizen sehingga ada yang menuntut pelakon itu segera memberi kenyataan dan menjelaskan situasi sebenar.
"Fazura tolong lakukan sesuatu. Sakit hati saya melihat mereka mengecam dan menghina awak di TikTok," tulis seorang netizen.
"Kepada Fazura, mohon lakukan sesuatu berita yang tengah hangat diperkatakan di media sosial. Mohon berita kenyataan yang jelas dan khabar angin yang sedang panas," kata seorang pengguna media sosial.
Semalam pengasas merangkap Pengarah Urusan Obor Holding Sdn Bhd, Lim Boon Hai, 42, meluahkan rasa kecewa apabila syarikat milik Nur Fazura gagal membayar hutang berjumlah RM4.65 juta kepada pihaknya.
Lim atau dikenali sebagai Sam berkata, syarikatnya nekad memfailkan tuntutan di mahkamah selepas syarikat didakwa milik Fazura iaitu Pink Fate Sdn Bhd gagal membuat bayaran seperti dipersetujui.
Terdahulu sebuah portal media melaporkan Obor Holding Sdn Bhd, pemilik Feline Malaysia, mendakwa Pink Fate Sdn Bhd yang diketahui umum diasaskan bersama oleh Fazura dibekalkan dengan tudung bernilai RM7,330,197.04 sejak Jun 2022.
Namun, Pink Fate hanya membuat bayaran sebanyak RM2,680,167.90, menyebabkan baki tertunggak berjumlah RM4.65 juta yang masih belum dijelaskan kepada Feline.
Obor Holding turut mendakwa mereka menghadapi kesukaran untuk mengutip bayaran tersebut sejak Disember 2023.
Selain Pink Fate sebagai defendan pertama, dokumen saman itu turut menamakan Fazfit Sdn Bhd sebagai defendan kedua, abang Fazura iaitu Ahmad Faiz Sharifuddin sebagai defendan ketiga, dan Fazura sendiri sebagai defendan keempat.
Melalui penyataan tuntutan yang diperoleh, hutang RM4.65 juta itu termasuk lima pesanan tambahan yang dibuat pada Jun dan September 2024 berjumlah RM3.6 juta, meskipun hutang terdahulu masih belum dilunaskan pada ketika itu.
Selain itu, dokumen itu menyatakan Faiz memberi jaminan kepada Feline bahawa pesanan tambahan itu dibuat untuk Kementerian Pendidikan menerusi inisiatif Merdeka Collection
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|