![]()
KANGAR: Petugas kesihatan dari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah satu pertuduhan pindaan memiliki ganja ketika sedang memasuki negara ini di Padang Besar. Tertuduh, Nur Aizat Haziq Mohd Zulkafli, 31, dari Johor mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim. Berdasarkan kertas pertuduhan pindaan, Nur Aizat didapati memiliki ganja seberat 10.8 gram semasa melalui laluan Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Padang Besar pada 2 Disember tahun lalu. Oleh hal demikian, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut seksyen dan akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan dilaksanakan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis, Nurul Idayu Ismail dan Suriati Yahaya manakala tertuduh diwakili peguam, Najdah Muhamad Romli dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). Nurshahida kemudian menetapkan hukuman denda RM4,000 terhadap tertuduh serta 12 bulan penjara sekiranya gagal bayar. Tertuduh membayar denda. Nur Aizat sebelum ini pernah mengaku bersalah pada 5 Disember tahun lalu ketika kali pertama dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan sama. Namun pengakuan bersalah pada prosiding itu tidak direkodkan disebabkan laporan kimia masih belum diterima dan pindaan pada pertuduhan kemudian dilakukan dari 10 gram sebelum ini kepada 10.8 gram pada prosiding hari ini. - BH Online |
ADVERTISEMENT