"Saya ingin anak-anak menjalani kehidupan bebas, tak mahu rasa ibu mereka seorang artis atau selebriti.”
Demikian kata penyanyi dan pengacara Elly Mazlein yang masih kekal dengan prinsip untuk tidak mendedahkan wajah dua anaknya, Sefhia dan Haider Matten dalam media sosial demi menjaga privasi keluarga.
Menurut Elly atau Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, anak-anaknya juga dilihat selesa dengan kehidupan ketika ini tanpa dihujani dengan publisiti atau populariti.
“Biarlah anak-anak membesar seperti orang biasa sebab saya tidak mahu mereka menjadi bahan tumpuan ramai.
“Alhamdulillah sehingga hari ini anak-anak saya sangat selesa dengan kehidupan mereka,” katanya kepada HibGlam selepas majlis sidang media Big Stage Alpha di sini, semalam.
Mengulas mengenai beberapa selebriti lain yang turut ‘menyorokkan’ wajah anak daripada tatapan umum, Elly berkata, setiap individu berhak melakukannya.
“Apabila ada artis-artis lain melakukan hal sama, mungkin mereka itu cara terbaik, jadi teruskan sahaja.
“Itu hak masing-masing, ada sahaja artis dan orang biasa yang kongsi wajah anak mereka dalam media sosial, silakan.
“Namun buat masa ini, saya gembira dengan tindakan untuk kehidupan dan keselesaan anak-anak,” katanya lagi.
Dalam masa sama, dia menghargai peminat yang menghormati keputusannya tidak memuat naik foto memaparkan wajah anaknya dalam media sosial.
“Kalau bawa anak keluar, kebanyakan peminat sudah faham prinsip saya. Mungkin kerana mereka sudah lama mengikuti media sosial saya.
“Peminat menghormati, mereka memang tahu kalau saya muat naik foto, wajah Sephia dan Haider akan ditutup dengan emoji.
“Jadi kalau mereka mahu memuat naik foto bersama saya, mereka juga akan kaburkan wajah anak-anak saya,” ujarnya.
Sementara itu, Elly dan pengacara Indonesia Rina Nose sekali lagi dipilih sebagai hos program Big Stage Alpha yang akan mula bersiaran 27 April depan.
Big Stage buat julung kali menampilkan format ‘all-male spin-off’ bagi memberi saingan buat 18 bintang lelaki merebut peluang menjadi kumpulan lelaki pertama di bawah naungan Astro.
Terdahulu, Elly mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Azlan Che Nuh pada Januari 2020 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Haider, 4 tahun.
Sebelum itu, Elly pernah berkahwin dengan pengarah Azmi Hatta pada 9 November 2014 namun berpisah pada 15 Oktober 2015.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Putri Sara Sefhia, 8 tahun. – HIBGLAM
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|