![]() Video seorang wanita dipercayai dipukul lelaki di sebuah persimpangan lampu isyarat di Taman Budiman Valley, Seksyen U15, Shah Alam tular di media sosial sejak Jumaat. Dalam video tersebut, kelihatan mangsa turut ditampar di bahagian kepala beberapa kali sebelum pertelingkahan antara kedua-duanya dihentikan oleh pemilik video. “Sakit la… sakit!” demikian kedengaran suara mangsa menerusi rakaman tersebut. Insiden yang dirakam dalam video berdurasi lebih tiga minit itu mencetuskan kebimbangan orang ramai selepas ia tersebar di aplikasi WhatsApp. Susulan itu, pihak polis kini sedang mengesan wanita terbabit dan meminta agar mangsa segera tampil membuat laporan bagi membantu siasatan. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, insiden tersebut dipercayai berlaku sekitar pukul 3.55 pagi. Menurutnya, pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 24 tahun, kira-kira pukul 4.35 pagi. “Ketika kejadian, pengadu bersama rakannya menaiki kenderaan Perodua Axia di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari dari arah Shah Alam ke Puncak Alam. “Mangsa yang tidak dikenalinya dengan berbaju kurung dan tidak berselipar kemudian menahan kenderaan pengadu bagi meminta pertolongan,” katanya pada Sabtu. Mohd Iqbal memaklumkan bahawa semakan mendapati tiada laporan polis dibuat oleh mangsa setakat ini dan identitinya masih belum dapat dikenal pasti. “Kami menyeru agar wanita terbabit tampil segera membuat laporan supaya siasatan lanjut dapat dijalankan," katanya lagi. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini juga diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202022 atau Ketua Polis Balai Bukit Jelutong, Inspektor Mohamad Amzar Mohamad Shuffie di talian 013-6666657. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT