![]()
MELAKA: Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas satu bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine bernilai RM18,000 di Jalan Ong Kim Wee di sini. Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, suspek berusia dalam lingkungan 20-an merupakan penganggur ditahan kerana memandu dalam keadaaan mencurigakan dalam sekatan jalan raya dijalankan oleh Balai Polis Tengkera, Balai Polis Melaka Tengah bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil pemeriksaan menemukan satu bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah dianggarkan seberat 822.1 gram. Menurutnya, jumlah itu boleh digunakan seramai 4,110 penagih untuk dijual di pasaran negeri ini dan dipercayai kedua-dua suspek aktif sejak empat bulan lalu.
“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai dua kes jenayah lampau manakala suspek kedua pula mempunyai tiga rekod lampau berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Christopher berkata, hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis sama. Ujarnya, mereka ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula hari ini hingga 24 April. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang daripada 15 sebatan. – UTUSAN |
ADVERTISEMENT