![]()
Kuala Lumpur: Tawaran antara RM5,000 hingga RM50,000 diberikan sindiket kepada individu terbabit bagi menguruskan proses pembelian bayi dan penyediaan sijil kelahiran bayi. Perkara itu dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam aktiviti berkenaan yang ditawarkan oleh sindiket. Sumber berkata, berdasarkan siasatan awal SPRM dipercayai sejumlah kira-kira RM400,000 transaksi berlaku membabitkan sindiket berkenaan yang dikesan beroperasi sejak 2021. Bagaimanapun katanya, SPRM masih lagi menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti dalang sindiket yang terbabit dalam isu berkenaan. "Siasatan awal turut mendapati modus operandi yang digunakan oleh ejen adalah melalui iklan di media sosial dan juga kenalan atas kenalan," katanya, hari ini.
Pada Rabu lalu, SPRM menahan reman 14 individu disyaki terbabit mengemukakan borang daftar kelahiran yang mengandungi butiran matan palsu berkenaan pengesahan kelahiran bayi sedangkan tiada rekod kelahiran bayi berkenaan di hospital terbabit. Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@HAMIM ketika dihubungi berkata, SPRM kini dalam proses mengesan lebih ramai individu atau ejen yang terbabit dalam membekalkan bayi dan yang terbabit dalam penyediaan dokumen palsu. Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat untuk tujuan berkenaan. - Harian Metro |
ADVERTISEMENT