![]()
PENAMPANG: Pembinaan semula Tamu Donggongon bernilai RM8.5 juta yang tertangguh sejak sekian lama, kini sudah bermula dan dijangka siap pada April 2026. Ahli Parlimen Penampang yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, rekabentuk bangunan mengekalkan identiti tamu sedia ada dengan mencakupi kemudahan-kemudahan baharu. “Projek ini sudah sekian lama tertangguh dan saya jadikan ini sebagai satu keutamaan sebaik sahaja saya dipilih menjadi Ahli Parlimen Penampang pada hujung tahun 2022. “Kurang daripada dua bulan selepas dipilih menjadi Ahli Parlimen Penampang, saya membawa Ketua Pengarah ICU Jabatan Perdana Menteri, Setiausaha Persekutuan Sabah bersama Pegawai Daerah Penampang dan jabatan-jabatan teknikal mengadakan lawatan ke Tamu Donggongon pada 13 Januari 2023.
“Saya meminta supaya peruntukan asal diteruskan dan perolehan dapat dipecepatkan. Ketua Pengarah pada ketika itu menurunkan semula surat kuasa kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah untuk memulakan proses perolehan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan projek Pembinaan Semula Tamu Donggongon, di sini. Ewon memaklumkan, beberapa bulan kemudiannya beliau diberi taklimat mengenai rekabentuk projek yang melibatkan pembangunan bertingkat. Katanya, beliau bagaimanapun menyatakan pandangannya yang tidak bersetuju dengan rekabentuk ketika itu dan meminta supaya identiti Tamu Donggongon yang sedia ada dikekalkan. “Hari ini projek pembangunan Tamu Donggongon dimulakan dengan rekabentuk baharu yang mengekalkan identiti dan ethos sedia ada. “Dengan pelancaran pembinaan semula Tamu Donggongon pada hari ini, saya anggap sebahagian daripada manifesto pilihan raya saya iaitu memastikan apa yang tertangguh di Penampang dapat dimulakan, untuk konteks Tamu Donggongon ini, saya percaya ia sudah selesai,” katanya. Projek ini melibatkan keluasan 2,543 meter persegi merangkumi pelbagai fasiliti iaitu Pasar Kering (550 lot), Pasar Basah (36 lot), Pejabat Tamu Master dan Penguatkuasa, Pondok Polis, Tandas Awam (Lelaki, Perempuan dan OKU), Rumah Sampah, Anjung Tempet menurunkan penumpang, tempat letak kereta, pemunggahan, OKU dan laluan pejalan kaki berbumbung. Selain itu turut dibina Mercu Pelancongan – Sabah Maju Jaya, I Love Tamu Donggongon dan Selamat Datang Ke Tamu Donggongon. Ewon berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan untuk manfaat rakyat Penampang. “Saya sendiri akan memantau bersama-sama semua pimpinan masyarakat dan usahawan Tamu Donggongon dan Pejabat Kerajaan di Penampang khususnya melalui platform Majlis Tindakan Pembangunan Daerah Penampang. “Kita memantau supaya projek ini dan projek-projek lain yang dilaksanakan oleh kerajaan di Penampang dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. “Pemantau secara konsisten setiap bulan atau sekurang kurangnya sekali dalam tempoh dua bulan oleh Majlis Tindakan Daerah Penampang,” katanya. Tamu Donggongon ini mengekalkan konsep sedia ada, cuma ada kemudahan-kemudahan baru yang akan dibina di sini, seperti penambahan lot peniaga, pondok polis, tandas mesra OKU, laluan pejalan kaki berbumbung dan banyak lagi. - Utusan Borneo |
ADVERTISEMENT