KUALA LUMPUR : Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi, 47, berpendapat, mana-mana individu atau majikan yang ingin mengambil pengasuh untuk anak-anak perlu bersikap rasional pada tempatnya.
Bagi Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, sukar untuk ibu bapa memantau keadaan anak-anak bersama pengasuh sepenuh masa di rumah terutama apabila masing-masing perlu keluar bekerja.
“Jika bagi bibik atau pengasuh untuk jaga anak kecil, kita pula keluar bekerja, kalau anak jatuh sikit, atau begitu begini terjadi namun tiada yang mudarat, maka berlebih kuranglah dengan pengasuh itu.
“Kena rasional,”katanya dalam satu hantaran di Threads semalam.
Abby berkata demikian dipercayai bagi mengulas mengenai isu seorang pempengaruh, Mia Azhar, yang tular di media sosial gara-gara luahannya berhubung pengasuh yang didakwa tidak menjalankan tugas dengan baik semasa ketiadaannya di rumah.
Isu itu timbul setelah dia mendapati melalui rakaman litar tertutup (cctv), anaknya yang berusia setahun sembilan bulan itu telah terjatuh dihempap rangka katil ketika berada di bawah pengawasan pengasuh tersebut.
Selain itu, Abby turut berkongsi pengalaman mengenai isu pengasuh yang mana baginya, tidak semua pengasuh itu gagal menjalankan tugas dengan baik.
“Saya ini kerja, kadang dekat, kadang jauh dan terpaksa tinggal anak-anak. Tetapi kena pastikan persekitaran selamat. Ramai tolong tengokkan anak-anak, namun tetap juga anak itu sakit demam, nangis jatuh semua.
“Ada juga rasa nak marah, tapi saya buat-buat relaks sahaja. Sebabnya, anak itu nangis sekejap saja, anak itu sihat lagi dan tak sampai masuk hospital pun.
“Nak tak nak saya memang kena sabar sebab tak ada pilihan waktu itu,”katanya.
Kongsi Abby lagi, dia juga pernah berhadapan dengan situasi yang menguji kesabarannya terhadap pengasuh anak-anak.
“Pernah dan berkali-kali anak saya jatuh dan ada sekali itu belakang badan hampir berlubang. Saya tanya yang diamanahkan menjaga waktu itu. Tahu dia jawab apa? Dia jawab ‘saya mana tahu, saya tak nampak, dia keluar seorang’.
“Lagi teruk bukan? Dia boleh tak tahu anak kecil saya keluar ke mana. Lebih kurang saja menjaga.Kalaulah kena culik macam mana?
“Tetapi sabar sajalah. Nak marah, tapi kena telan saja waktu itu,”katanya.
Tidak cuma itu, kongsi bekas anggota kumpulan Elite ini memberitahu, dia juga pernah berdepan dengan situasi apabila pengasuh meminta gaji tinggi yang disifatkan tidak setimpal dengan tugasan.
“Pernah ada yang kerja dengan saya, gaji nak besar tapi rajin main telefon saja kerjanya. Saya tahu dan diam pendam. Sudahlah begitu, pilih-pilih kasih pula.
“Anak yang dia suka, dia layan elok. Yang tak suka, dia abaikan saja. Budak kecil ingat tak pandai menilaikah?
“Sekarang yang menjaga lebih kurang itu pun dah tiada. Berhenti sendiri,”katanya. - Utusan
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|