CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CariDotMy Portal Portal Utama Kesihatan Lihat artikel

Senggugut Tidak Boleh Dianggap Biasa

16-4-2025 01:07 PM| Diterbitkan: CARI-HBZ| Dilihat: 327| Komen: 3|Original author: tatod

1000016172.jpg



SAKIT haid atau senggugut bukanlah fenomena normal yang patut dianggap biasa.


Senggugut teruk setiap kitaran haid boleh menjadi gejala utama endometriosis, penyakit kronik yang bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup, tetapi juga sistem reproduktif dan peluang untuk mempunyai zuriat.


Pakar Perunding Ginekologi Hospital Picaso, Dr Sharifah Halimah Jaafar, menjelaskan bahawa endometriosis berlaku apabila tisu endometrium tumbuh di luar rahim, menyebabkan keradangan kronik dan pembentukan tisu parut.


Ini boleh mengakibatkan organ-organ berhampiran terlekat, menyebabkan kesakitan haid yang teruk serta menjejaskan fungsi organ lain seperti usus, pundi kencing, dan saluran kencing.


Menurutnya, penyakit ini boleh menjejaskan wanita muda berusia 20 hingga 40 tahun dan boleh



bermula seawal remaja.


Simptom lain termasuk sakit semasa hubungan intim, sakit pinggul kronik, masalah pencernaan, kesukaran hamil, dan keletihan. Namun, ada pesakit yang tidak mengalami sebarang gejala walaupun penyakit mereka sudah di tahap serius.


"Endometriosis sering disalah anggap sebagai masalah lain seperti Irritable Bowel Syndrome (IBS) atau radang pundi kencing. Ini menyebabkan ramai wanita menerima diagnosis yang salah dan rawatan yang tidak tepat," katanya.


Dr Sharifah menekankan kepentingan diagnosis awal, yang boleh dilakukan melalui pemeriksaan dalaman pelvis dan ultrasound.


Jika gejala berterusan atau terdapat kemungkinan lain seperti kanser, prosedur laparoskopi disyorkan. Melalui kaedah ini, doktor dapat melihat dan membuang tisu endometriosis pada masa sama.


Ramai wanita lewat mendapatkan pemeriksaan kerana menganggap senggugut sebagai perkara biasa atau malu untuk mengadu. Persepsi ini perlu diubah, terutama dalam kalangan ibu bapa dan guru.


Rujuk kepada pakar


Apabila anak atau pelajar mengadu sakit haid yang teruk, mereka harus segera dirujuk kepada pakar untuk pemeriksaan lanjut. Rawatan awal boleh mengelakkan kesakitan berpanjangan, masalah kesuburan, dan kerosakan organ dalaman.


Sehingga kini, punca utama endometriosis belum diketahui dengan jelas. Teori yang ada mencadangkan ia berpunca daripada faktor genetik, ketidakseimbangan hormon, gangguan sistem imun, serta perubahan dalam mikrobioma faraj akibat jangkitan berulang.


Faktor risiko termasuk sejarah keluarga, haid awal, kitaran pendek, haid berlebihan, serta gaya hidup seperti diet tinggi lemak dan kurang bersenam.


Dari segi rawatan, Dr Sharifah menjelaskan terapi hormon progesteron adalah pilihan pertama, diikuti dengan pembedahan bagi kes lebih teruk.


Namun, pembedahan tanpa rawatan susulan boleh menyebabkan penyakit berulang. Seiring kemajuan teknologi, kaedah pembedahan robotik kini menawarkan hasil lebih baik dengan pemulihan lebih cepat berban­ding pembedahan terbuka.


1000016174.jpg


Sementara itu, Pakar Perunding Ginekologi Hospital Picaso, Dr Tan Ee Ping, berkata terdapat pelbagai kaedah rawatan lain termasuk laser, dan gelombang mikro yang boleh membantu dari segi kesuburan.


Namun, keberkesanannya bergantung kepada usia pesakit dan kesediaan mereka untuk hamil.


Menurut Dr Tan, cabaran utama dalam merawat endometriosis adalah kos rawatan yang tinggi dan kurangnya hospital yang memiliki peralatan canggih seperti robotik.


Selain itu, tidak semua doktor pakar dan staf perubatan mempunyai kemahiran dalam pembedahan invasif minimum.


Oleh itu, Hospital Picaso bercadang untuk mengumpulkan pakar endometriosis di bawah satu bumbung bagi memastikan pesakit mendapat rawatan holistik dan berkesan.


Kesedaran mengenai endometriosis masih rendah, bukan sahaja dalam kalangan wanita tetapi juga di kalangan pengamal perubatan. Oleh itu, penting bagi pesakit untuk mendapatkan maklumat dari sumber yang sahih, termasuk laman web profesional dan kumpulan sokongan.


"Kumpulan sokongan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran dan mengurangkan kelewatan dalam diagnosis serta rawatan. Namun, untuk benar-benar mengubah cara endometriosis ditangani, naratif bahawa sakit haid itu normal perlu diubah," kata Dr Tan.


Endometriosis bukan sekadar penyakit biasa, tetapi satu kondisi yang mampu melumpuhkan seluruh sistem reproduktif dan pelvis. Ia memberi tekanan emosi kepada pesakit, menjejaskan prestasi kerja, hubungan peribadi, serta kualiti hidup secara keseluruhan.


Tanpa rawatan yang sesuai, wanita yang menghidap penyakit ini perlu menanggung kesakitan sehingga menopaus.


Dengan kesedaran, diagnosis awal, dan rawatan yang tepat, endometriosis dapat dikendalikan dengan lebih baik.


Usaha bersepadu antara doktor, penyelidik, dan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan wanita yang menghidap endometriosis tidak lagi terpinggir dalam sistem kesihatan.


"Hospital Picaso komited dalam menyediakan rawatan holistik dengan teknologi terkini dan pakar endometriosis yang berpengalaman. Untuk maklumat lanjut, layari https://www.hospitalpicaso.com/ atau hubungi +603-7457 2888. Pemulihan adalah satu perjuangan yang wajar diperjuangkan."



Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan
Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote ipes2 20-4-2025 02:34 AM
endometriosis pon boleh
Quote mosinjack 20-4-2025 03:03 AM
Terima kasih atas perkongsian yang sangat bermakna ini. Ramai masih anggap senggugut itu perkara biasa, sedangkan ia boleh jadi petanda penyakit serius seperti endometriosis. Kesedaran seperti ini memang sangat penting—semoga lebih ramai wanita mendapat diagnosis dan rawatan awal.
Quote ayamasakciliapi 2-5-2025 08:49 PM
Thank you for this!!!

Lihat semua komen(3)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-5-2025 05:47 AM GMT+8 , Processed in 0.086759 second(s), 32 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top