PENYANYI legenda Indonesia iaitu Titiek Puspa meninggal dunia sekitar pukul 4.25 petang Khamis.
Titiek atau Sudarwati menghembuskan nafas terakhir pada usia 88 tahun di Hospital Medistra, Jakarta, Indonesia.
Penyanyi itu meninggal dunia selepas menjalani pembedahan susulan mengalami pendarahan dalam otak.
Berita pemergiannya disahkan sendiri oleh pengurusnya kepada media tempatan.
“Ya, sekitar 15 minit yang lalu,” katanya ringkas.
Sebelum itu, pihak keluarga Allahyarham ada mendedahkan Titiek mengalami pendarahan pada bahagian otak kiri sebelum dimasukkan ke hospital.
Pada Mac lalu, Titiek dikejarkan ke hospital sama kerana mengalami komplikasi akibat pembuluh darahnya pecah dipercayai akibat angin ahmar.
Sementara itu, anak pertama Allahyarham, Petty Tunjungsari, mengesahkan khabar pemergian ibunya.
Petty menjelaskan kejadian bermula ketika Titiek sedang melakukan proses penggambaran bagi sebuah program televisyen 26 Mac lalu.
Tambah Petty, ibunya sempat menyelesaikan tiga segmen program itu sebelum tiba-tiba rebah dan pihak produksi membawa penyanyi itu ke hospital.
Sepanjang karier Allahyarham, antara album pernah dihasilkan Titiek adalab Kisah Hidup (1963), Mama (1964), Kupu-Kupu Malam (1977), Apanya Dong (1982), Horas Kasih (1983) dan Virus Cinta (1997).
Tidak hanya itu, dua lagu Allahyarham iaitu Kupu-Kupu Malam dan Bing dipilih sebagai lagu Indonesia terbaik sepanjang zaman oleh Rolling Stone Indonesia pada 2009.
Malah Titiek juga pernah aktif dalam bidang lakonan menerusi drama sinetron dan filem seperti Minah Gadis Dusun (1965), Di Balik Cahaya Gemerlapan (1976), Karminem (1977), Rojali dan Juhela (1980) dan Koboi Sutra Ungu (1982).
Sumber :– mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|