Maran: Lelaki maut dipercayai dibelasah penduduk kampung selepas mengamuk dan menikam wanita serta remaja di Felda Jengka 2, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 10 pagi.
Wong berkata, dalam keterangan, saksi memaklumkan lelaki terbabit sebelum itu mengamuk dan bertindak agresif ke atas wanita berumur 52 tahun dan anak saudaranya yang berusia 16 tahun.
"Wanita cedera akibat kesan tikaman pada perut sedalam tiga sentimeter (cm), kesan tikam pada tangan kanan dan kecederaan di bahagian dagu, manakala remaja lelaki cedera di paha kanan dengan kesan tikaman sedalam 2cm.
"Pegawai perubatan Hospital Jengka mengesahkan lelaki itu meninggal dunia, manakala mangsa wanita masih dirawat di Hospital Jengka sementara remaja mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar," katanya.
Menurutnya, susulan itu, pihaknya menahan empat lelaki bagi untuk siasatan lanjut.
"Mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk dibedah siasat. Forensik juga sudah menemui pisau digunakan dalam kejadian," katanya. - Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|