
MIRI: Seorang ahli perniagaan wanita kerugian RM245,500 selepas diperdaya sindiket penipuan tawaran tender tidak wujud yang menyamar sebagai pegawai sebuah agensi kerajaan di Miri.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan pihak Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Miri telah menerima laporan berhubung kes itu pada 14 Mei lalu.
Menurutnya, mangsa merupakan seorang wanita tempatan berusia 61 tahun yang menjalankan perniagaan dalam bidang pembinaan.
Katanya, mangsa dikatakan berurusan dengan suspek yang menyamar sebagai pegawai sebuah agensi kerajaan dan menawarkan tender membekal barangan elektronik.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan meminta mangsa mendapatkan barangan yang bukan dalam bidang perniagaannya sebelum diberikan nombor telefon suspek kedua bagi urusan mendapatkan bekalan tersebut.
“Mangsa kemudian diperdaya sehingga membuat pembayaran ke akaun bank pihak ketiga yang diberikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Farhan, mangsa telah melakukan empat transaksi pindahan wang ke akaun terbabit membabitkan jumlah keseluruhan RM245,500.
Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas membuat semakan dengan pihak berkaitan dan mendapati tender yang ditawarkan itu sebenarnya tidak wujud.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran tender daripada mana-mana agensi kerajaan atau swasta serta mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan atau bayaran.
Mangsa penipuan siber yang baru melakukan transaksi kewangan juga disaran segera menghubungi National Scam Response Center (NSRC) menerusi talian 997 bagi membantu tindakan lanjut.
Orang ramai turut digalakkan membuat semakan nombor telefon dan akaun bank yang mencurigakan melalui aplikasi Check Scammers CCID atau laman sesawang Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Selain itu, masyarakat juga disarankan memuat turun aplikasi Whoscall bagi membantu mengenal pasti nombor telefon yang berpotensi digunakan sindiket penipuan.
Sumber : Utusan Borneo
|