CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 180|Reply: 0

[Sabah] Sabah perlu bawa solusi progresif selepas penangguhan Akta 860

[Copy link]
Post time 15-5-2026 08:24 AM | Show all posts |Read mode


ASSAFFAL

KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) di Sabah disifatkan sebagai langkah kanan yang tidak boleh sekadar berhenti pada penangguhan.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan (WARISAN) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku Assaffal P. Alian berkata, Sabah perlu membawa solusi yang progresif tanpa mengabaikan tuntutan asal bagi memulihkan hak eksekutif negeri.

Katanya, Sabah tidak menolak kerjasama dengan kerajaan Persekutuan, tetapi menolak sebarang bentuk pemusatan kuasa yang menghakis semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Model yang kita mahukan adalah 'perkongsian kuasa' yang berteraskan prinsip wilayah berdaulat, bukannya konfrontasi politik semata-mata.

"Saya menghargai maklum balas pantas daripada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengenai penangguhan pelaksanaan Akta 860 di Sabah berikutan elemen penghakisan kuasa yang dikenal pasti," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengemukakan pelan solusi bagi mengembalikan keseimbangan kuasa MA63 termasuk restorasi penuh teks asal Akta Imigresen.

Menurutnya, pindaan-pindaan akta sebelum ini, terutamanya melalui Akta A985 (1997) dan Akta A1154 (2002), secara sistematik memindahkan kuasa pelantikan dan arahan daripada peringkat negeri kepada Menteri Dalam Negeri di Persekutuan.

Katanya, pindaan berkenaan meremehkan peranan eksekutif Ketua Menteri Sabah yang dijamin dalam Rang Undang-Undang (RUU) 1963.

Justeru jelasnya, semua pindaan yang mengambil alih kuasa eksekutif negeri ini wajib dikaji semula dan dikembalikan kepada punca kuasa asal.

Selain itu, Assaffal mencadangkan agar pelantikan Pengarah Imigresen Sabah dibuat secara bersama (joint-appointment)  antara kerajaan negeri dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Sabah mesti mempunyai suara dalam menentukan siapa yang mentadbir pintu masuk wilayah kita, bagi memastikan individu berkenaan mempunyai tanggungjawab perlembagaan terus kepada pihak berkuasa negeri.

"Saya turut mencadangkan penubuhan Majlis Keselamatan Sempadan Sabah yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah untuk menyelaras fungsi imigresen, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan agensi berkaitan.

"Dengan adanya majlis ini, Sabah akan dilihat membawa solusi keselamatan yang bersepadu, membuktikan kita mampu menguruskan keselamatan wilayah kita sendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada agensi pusat yang baru," jelasnya.

Beliau berkata, kewujudan Akta 860 adalah bukti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah perlu diperkasakan dengan pemberian tambahan aset kritikal seperti radar pantai, dron pemantauan, bot peronda laju, dan teknologi biometrik moden.

Menurutnya, pemerkasaan jauh lebih efektif daripada mewujudkan lapisan agensi Persekutuan baharu yang hanya akan merumitkan birokrasi operasi.

"Kita juga perlu mengutamakan pengambilan anak Sabah dalam penguatkuasaan sempadan kerana mereka lebih memahami keadaan tempatan dan sensitiviti kawasan.

"Satu 'Kertas Putih' mengenai pendatang tanpa izin (PTI) dan keselamatan sempadan perlu dibentangkan untuk melihat impak lambakan warga asing terhadap ekonomi rakyat.

"Isu autonomi ini tidak boleh diselesaikan di peringkat eksekutif semata-mata, justeru saya mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mengenai MA63 dan Keselamatan Sempadan ditubuhkan," jelasnya.

Assafal berkata, suara DUN adalah suara rasmi rakyat Sabah dan isu kedaulatan perlu dibahas dan diputuskan oleh wakil rakyat secara berterusan, bukan hanya ketika timbul kontroversi.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua wakil rakyat Sabah tanpa mengira parti untuk berdiri teguh secara bersama dalam mempertahankan autonomi imigresen Sabah, demi memastikan maruah Sabah dalam Persekutuan Malaysia kekal terpelihara seperti yang dijanjikan pada 1963.


Sumber : Utusan Borneo

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-6-2026 12:50 AM GMT+8 , Processed in 0.088512 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list