
ASSAFFAL
KOTA KINABALU: Pengenalan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) boleh dilihat sebagai langkah halus untuk mengambil alih kuasa autonomi imigresen yang merupakan hak mutlak Kerajaan Negeri Sabah.
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan (WARISAN) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal P. Alian berkata, pengenalan Akta 860 bukan sekadar penyelarasan keselamatan sempadan, malah pelanggaran semangat asal Perjanjian Malaysia melalui Akta Imigresen 1963 (Akta 27/1963).
Katanya, dalam draf asal Rang Undang-Undang (RUU) 1963, 'Negeri-Negeri Borneo' (Sabah dan Sarawak) diberikan status sebagai unit berasingan di mana kawalan kemasukan ke wilayah ini berada di bawah bidang kuasa penuh negeri masing-masing.
Beliau berkata, sejarah pemusatan kuasa ini bukanlah perkara baharu dan Akta Imigresen 1959/1963 sebelum ini telah dipinda di bawah Seksyen 3(1A) untuk membolehkan Menteri Dalam Negeri melantik pengarah imigresen dan pegawai kanan yang lain.
"Apa yang kita lihat hari ini melalui Akta 860 adalah satu 'siaran ulangan' kepada pindaan berkenaan, tetapi kali ini ia datang dalam angka yang jauh lebih besar iaitu sebuah agensi Persekutuan yang penuh.
"Trend ini tidak patut berlaku, sebaliknya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah perlu diperkasakan sebagai institusi negeri yang mandiri tanpa perlu lagi tunduk kepada campur tangan berterusan daripada pihak eksekutif Persekutuan," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Assaffal berkata, berdasarkan Seksyen 65 Akta 155, Pengarah Imigresen Sabah wajib mematuhi apa-apa arahan yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Negeri, iaitu Ketua Menteri Sabah.
Namun katanya, di bawah Akta 860, agensi Persekutuan baharu ini diketuai oleh seorang ketua pengarah lantikan Persekutuan yang tertakluk kepada arahan Menteri Dalam Negeri.
Menurutnya, walaupun terdapat peruntukan pematuhan arahan negeri dalam Seksyen 6(3), dikhuatiri wujud lapisan agensi pusat yang akan secara teknikal mengatasi kuasa eksekutif Ketua Menteri di lapangan.
Dalam pada itu, beliau turut menyokong keresahan yang disuarakan oleh Kesatuan Pegawai-Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) mengenai pelaksanaan Akta 860.
"Lima kelompongan besar yang didedahkan oleh KPPIS sebagai bukti bahawa perundangan baharu ini tidak mengambil kira sensitiviti Perlembagaan Negeri Sabah.
"Antara kelompongan kritikal adalah penyelesaian pertindihan fungsi secara administratif di bawah Seksyen 8 Akta 860, yang dilihat sebagai ruang untuk Putrajaya membuat keputusan tanpa merujuk kepada hak Perlembagaan Negeri Sabah yang asal," katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|