
SIBU: Pengumuman bantuan khas oleh Premier Sarawak disifatkan sebagai satu “hadiah” bermakna kepada rakyat negeri ini dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Ketua Bahagian Parti Demokratik Progresif (PDP) N.73 Piasau, Jaya Ramba (gambar) berkata, bantuan seperti diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus dan pengurangan sewaan sehingga 50 peratus memberi kelegaan besar kepada rakyat yang terkesan dengan situasi ekonomi semasa.
Menurut beliau, bantuan tersebut bukan sekadar angka, sebaliknya membawa impak langsung kepada kehidupan harian, khususnya golongan yang perlu berjimat dalam perbelanjaan asas.
“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, bantuan ini boleh dianggap sebagai hadiah yang sangat diperlukan rakyat, bukan dalam bentuk kemewahan tetapi kelegaan untuk meneruskan kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memuji langkah kerajaan negeri menambah baik Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang dilihat sebagai usaha berterusan memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Namun, beliau berharap agar inisiatif tersebut dapat dilanjutkan sekurang-kurangnya sehingga setahun bagi memberi kestabilan kewangan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Jaya menekankan bahawa golongan luar bandar perlu terus diberi perhatian memandangkan mereka berdepan cabaran tambahan seperti kos logistik tinggi dan akses terhad kepada kemudahan asas.
Katanya, bantuan yang diumumkan wajar dilihat sebagai langkah permulaan dalam usaha lebih menyeluruh untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Beliau turut mengingatkan kepentingan pemantauan berterusan bagi memastikan pelaksanaan bantuan mencapai sasaran, selain menyeru rakyat menggunakan bantuan secara berhemah.
Secara keseluruhan, pengumuman tersebut dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan negeri dalam memartabatkan kesejahteraan rakyat serta memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan.
Sumber : Utusan Borneo
|