|
View: 106|Reply: 1
|
[Sarawak]
Wong gesa mekanisme penetapan harga tiket dikaji semula
[Copy link]
|
|
|

WONG
SIBU: Irene Wong menggesa Kerajaan Sarawak mengkaji semula mekanisme penetapan harga tiket serta menilai semula keseluruhan kos perjalanan yang ditanggung rakyat, susulan kebimbangan terhadap tambang penerbangan yang agak tinggi bagi laluan Sibu-Kuching oleh syarikat penerbangan milik kerajaan negeri AirBorneo.
Menurut Pembantu Khas Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling itu, harga tiket yang dipaparkan di laman web rasmi AirBorneo biasanya berada dalam lingkungan RM200 hingga RM450 bagi laluan Sibu-Kuching.
"Namun pada tarikh tertentu harga didapati meningkat dengan ketara, termasuk pada 18 April apabila tiket dilaporkan mencecah sehingga RM650, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tarikh tersebut tidak jatuh pada musim perayaan atau cuti umum, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai justifikasi kenaikan harga itu dan menyifatkannya tidak selari dengan jangkaan rakyat terhadap perkhidmatan penerbangan yang berpatutan.
"Berhubung isu tambang penerbangan yang agak tinggi bagi laluan Sibu-Kuching oleh AirBorneo, saya menyeru Kerajaan Sarawak supaya memberi perhatian serius terhadap beban kos perjalanan yang ditanggung rakyat serta mengkaji semula mekanisme penetapan harga tiket dan keseluruhan kos perjalanan," jelasnya.
Selain isu harga, Wong turut menimbulkan kebimbangan mengenai susunan laluan penerbangan.
Beliau berkata terdapat penerbangan dari Sibu ke Kuching yang memerlukan satu atau dua transit, sekali gus menyebabkan tempoh perjalanan lebih panjang dan dalam sesetengah keadaan, laluan dilihat tidak mengikut laluan terus.
Wong menambah, permintaan perjalanan antara Sibu dan Kuching kekal tinggi bagi tujuan kerja, pendidikan, perubatan dan urusan keluarga.
Justeru, beliau mencadangkan AirBorneo menilai semula perancangan laluan serta mempertimbangkan penambahan penerbangan terus bagi meningkatkan kecekapan dan menjimatkan masa penumpang.
Wong turut menegaskan bahawa penubuhan syarikat penerbangan milik kerajaan negeri itu bertujuan menyediakan tambang yang lebih berpatutan kepada rakyat Sarawak.
Bagaimanapun, kenaikan harga tiket kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.
Sehubungan itu, Wong menggesa pihak berkuasa berkaitan mengambil langkah segera bagi menambah baik keadaan, termasuk mengkaji semula mekanisme penetapan harga, laluan penerbangan dan kekerapan jadual penerbangan bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan benar-benar memenuhi keperluan dan jangkaan rakyat.
Sumber : Utusan Borneo
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Wong kecewa tambang tinggi penerbangan sehala Sibu-Kuching
April 16, 2026, Khamis - 8:04pm

Hantaran Wong dalam media sosialnya hari ini mengenai tambang sehala Sibu-Kuching yang melampau mencecah RM969.
SIBU: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong Wong Ching Yong meluahkan rasa kecewa terhadap tambang penerbangan yang tinggi selepas mendapati harga tiket sehala dari Sibu ke Kuching pada 17 April mencecah RM969, yang disifatkannya sebagai terlalu mahal dan amat membebankan.
Menurutnya, beliau menemui kadar tambang tersebut ketika cuba menempah penerbangan segera kerana perlu menghadiri mesyuarat penting hari ini.
“Saya menerima notis tergempar hari ini mengenai satu mesyuarat pada hari Jumaat, yang saya mesti hadiri.
“Apabila membuka laman web AirAsia, harga tiket sehala dari Sibu ke Kuching pada pagi 17 April adalah RM969.
"Saya tidak tersalah lihat; memikirkan untuk membayar jumlah itu sahaja sudah membuat saya berasa seram,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.
Wong mempersoalkan harga tersebut bagi perjalanan domestik yang dianggapnya singkat.
“AirAsia, tolong faham: saya tidak akan bercakap tentang hubungan peribadi kerana kita tidak saling mengenali tetapi tidakkah wujud konsep ‘keadilan’?
“Mengapa rakyat Sibu perlu membayar RM969 untuk penerbangan hanya 25 minit?” katanya.
Beliau turut membuat perbandingan dengan kos perjalanan antarabangsa, dengan menyatakan bahawa dengan sedikit tambahan bayaran, penumpang boleh melakukan perjalanan jauh dengan tempoh penerbangan lebih lama.
“Saya ingin beritahu, dengan tambahan RM500 sahaja saya boleh terbang bersama Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Perth dan berjumpa anak perempuan saya, tetapi penerbangan itu mengambil masa lima jam, bukan sekadar 25 minit,” katanya.
Dalam meluahkan ketidakpuasan hati, Wong turut membuat perbandingan dengan dinamik kuasa global dengan merujuk kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan ketegangan melibatkan Iran.
“Semua orang kata Trump seorang pembuli besar, terutama kerana beliau bertelagah dengan Iran dan minyak Iran adalah kunci kepada kuasanya.
“Tetapi AirAsia: rakyat Sarawak tidak mempunyai sebarang permusuhan dengan anda, bagaimana anda boleh memperlakukan kami dengan tidak adil?” katanya, sambil bertanya, “Jadi, bukankah AirAsia lebih mendominasi daripada Trump?”
Ketika dihubungi oleh pemberita mengenai isu tersebut, Wong menggesa Menteri Pengangkutan Anthony Loke supaya meneliti perkara ini dengan sangat serius.
“Ini kerana ia benar-benar terlalu mahal dan amat membebankan.
"Walaupun harga minyak mentah sekitar AS$100 setong, tambang RM969 untuk penerbangan 25 minit dari Sibu ke Kuching tidak boleh diterima sama sekali.
“Ia juga tidak boleh diterima jika kenaikan tambang oleh AirAsia tidak seimbang dengan peningkatan harga minyak di Timur Tengah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua Ahli Parlimen dari Sarawak tanpa mengira daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau Parti Tindakan Demokratik (DAP), supaya membangkitkan isu ini kepada kerajaan persekutuan, khususnya Kementerian Pengangkutan.
Beliau juga menyeru Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling dan Ahli Parlimen Lanang Alice Lau sebagai wakil dari Sibu supaya membawa perkara ini ke perhatian kerajaan persekutuan.
Sehingga waktu laporan ditulis, hantaran Wong telah menerima 261,000 tontonan.
Beliau berkata, ramai yang berkongsi pandangannya bahawa tambang bagi penerbangan 25 minit dari Sibu ke Kuching tidak sepatutnya setinggi itu.
“Ramai juga mengatakan bahawa dengan RM969, mereka mungkin boleh terbang dari Kuala Lumpur ke Shanghai,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|