
(Dari kiri) Chan, Mazli dan Peng bergambar di hadapan 'tren emas'.
KUCHING: Dua unit pertama kenderaan Autonomous Rapid Transit (ART) Sarawak telah berjaya menamatkan ujian di China dan kini bersedia untuk dihantar ke Kuching sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting bagi projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Dalam satu kenyataan, Sarawak Metro memaklumkan kedua-dua unit yang dikenali sebagai 'tren emas' itu dijangka tiba di Kuching pada suku kedua tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Mazli Mustaffa bersama pasukan teknikal syarikat, baru-baru ini mengadakan lawatan ke Yibin, China bagi menjalankan pemeriksaan akhir ke atas kenderaan ART di fasiliti pengeluar.
Menurut kenyataan itu, lawatan berkenaan bertujuan mengesahkan tahap kesiapsiagaan keseluruhan, kualiti hasil kerja serta pematuhan terhadap spesifikasi projek sebelum penghantaran dibuat.
“Kami teruja untuk menyambut ketibaan ‘tren emas’ ini di Kuching tidak lama lagi dan semua pihak menantikan permulaan operasi perintis pada akhir tahun ini.
"Ia sekali gus membawa kita lebih hampir ke arah penyediaan sistem pengangkutan awam yang moden, cekap dan mesra alam untuk rakyat Sarawak,” kata Mazli.
Beliau menambah, Sarawak Metro kekal komited untuk melaksanakan projek KUTS secara selamat, cekap dan mampan selain merakamkan penghargaan atas sokongan serta kerjasama berterusan daripada orang ramai.
Sebaik tiba di Sarawak, kenderaan berkenaan akan menjalani kerja pemasangan semula gangway di Fasiliti Pemasangan ART Kuching (KAAF).
Ujian lanjut akan dijalankan di depot ART di Rembus, Kota Samarahan bagi memastikan kesiapsiagaan operasi sepenuhnya sebelum operasi perintis yang dijadual bermula pada suku keempat tahun ini.
Turut hadir semasa lawatan Mazli ke fasiliti pembuatan di Yibin ialah Pengurus Besar Hunan CRRC Intelligent Transport Technology Co Ltd Peng Zhonghong dan Pengarah EPR Mobilus GR JV Sdn Bhd Chan Chee Kian.
Sumber : Utusan Borneo
|