Taktik mereka jerat mangsa dengan hutang tidak munasabah, ugut cederakan ahli keluarga, penculikan

Lau (duduk tengah) bersama ahli-ahlinya ketika sidang media di Sibu, hari ini.
SIBU: Kegiatan sindiket pinjaman wang dalam talian haram kini semakin membimbangkan apabila taktik mereka bukan sahaja menjerat mangsa dengan hutang tidak munasabah, malah melibatkan ugutan jenayah berat termasuk ancaman mencederakan ahli keluarga dan penculikan.
Perkara ini didedahkan oleh Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Wilayah Sarawak Lucas Lau pada sidang media di sini, semalam susulan satu kes melibatkan seorang peniaga tempatan yang menjadi mangsa sindiket berkenaan sejak Januari lalu.
Menurutnya, mangsa telah berurusan dengan lebih 70 individu berbeza melalui aplikasi WhatsApp, sebelum mendapati wang berjumlah kira-kira RM700,000 dimasukkan ke dalam akaunnya tanpa kebenaran atau persetujuan.
“Ini adalah taktik licik sindiket. Mereka memasukkan wang tanpa diminta, kemudian memaksa mangsa membayar semula dengan kadar faedah yang tidak masuk akal,” katanya.
Mangsa dilaporkan telah membuat bayaran sehingga RM1.2 juta, namun sindiket tersebut masih menuntut baki hutang mencecah RM1.5 juta.
Keadaan menjadi lebih serius apabila pada 10 April lalu, mangsa menerima ugutan termasuk ancaman mencederakan keluarga serta menculik anaknya jika gagal melunaskan bayaran.
“Ini bukan lagi isu hutang semata-mata tetapi sudah menjurus kepada jenayah berat yang mengancam keselamatan nyawa,” tegasnya.
Dalam keadaan terdesak, mangsa telah mendapatkan bantuan MTPN Sarawak sebelum dinasihatkan untuk membuat laporan polis dengan segera.
Situasi menjadi semakin rumit apabila dua lelaki dipercayai dari Semenanjung tampil kononnya menawarkan bantuan untuk menyelesaikan hutang tersebut, namun dengan syarat mangsa perlu menyerahkan hak milik hartanah kepada mereka.
Bertindak atas nasihat strategik MTPN, mangsa telah bekerjasama dengan pihak polis yang akhirnya membawa kepada penahanan kedua-dua suspek pada 11 April lalu di sebuah restoran di Sibu ketika pertemuan susulan diadakan.
Menurut kenyataan polis, pihak berkuasa turut merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, kad ATM, wang tunai dan sebuah komputer riba yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua suspek akan direman bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam pada itu, MTPN Sarawak memaklumkan bahawa pihaknya menerima aduan berkaitan kes serupa hampir setiap hari, menunjukkan trend peningkatan yang amat membimbangkan.
“Kami tidak mahu lebih banyak keluarga menjadi mangsa.
"Sesiapa sahaja boleh terjerat jika tidak berwaspada,” kata Lau.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran pinjaman mudah yang diiklankan di media sosial, khususnya yang tidak berlesen atau mencurigakan.
“Kesedaran adalah benteng utama.
"Satu perkongsian maklumat mungkin mampu menyelamatkan satu keluarga daripada menjadi mangsa,” tambahnya.
MTPN turut menggesa orang ramai untuk tampil membuat laporan sekiranya menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kegiatan sindiket pinjaman haram ini.
Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Ketua Biro Pembangunan Wanita MTPN Datin Lily Toh, Pengerusi MTPN Belia Sarawak Kaunselor Sean Wong, Ketua Biro Pembangunan Usahawan MTPN Malcolm Lee, Bendahari MTPN Wilayah Sarawak Alex Koh dan Pengerusi MTPN Bahagian Sibu Intan Asmida.
Sumber : Utusan Borneo
|