
Nanta dan isteri, Datin Sri Angelina Celestine Ujang mengiringi kedua-dua pengantin berarak masuk ke dewan. - Gambar UKAS
KAPIT: Majlis resepsi perkahwinan anak kepada Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi berlangsung meriah dan penuh gemilang pada malam tadi, sekali gus menjadi platform memperkukuh jalinan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), majlis yang diadakan di Dewan Suarah Kapit itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk kenamaan negeri dan pemimpin tempatan dalam suasana harmoni serta penuh kemesraan.
Antara yang hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang Adat dan Bumiputera) merangkap ADUN Bukit Goram Datuk Jefferson Jamit Unyat, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang serta Timbalan Menteri di Kementerian Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Majlis dimulakan dengan ketibaan pasangan pengantin sebelum diteruskan dengan jamuan makan malam serta persembahan hiburan termasuk tarian dan tayangan video.
Ucapan turut disampaikan oleh Nyabong selaku bapa saudara pengantin perempuan, diikuti Nanta sebagai bapa pengantin perempuan serta Datu Dr. Lulie Melling mewakili keluarga pengantin lelaki.
Kemuncak majlis diserikan dengan upacara memotong kek perkahwinan dan ‘champagne toast’ yang diketuai Jamit, diikuti sesi bergambar serta pertunjukan bunga api.
Majlis yang berlangsung lancar dan tersusun itu mencerminkan semangat perpaduan serta keharmonian komuniti di Kapit, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan erat antara pemimpin dan rakyat.
Sumber : Utusan Borneo
|