
Hanifah dibantu Jamilah (tengah) membuka simpulan kain yang membalut buku ‘Laila Taib: Her Journey of Love and Compassion’. Turut kelihatan ialah Mahmud. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Sebuah biografi yang mengangkat perjalanan hidup penuh inspirasi Allahyarhamah Datuk Patinggi Laila Taib dilancarkan hari ini sebagai penghargaan terhadap legasi kasih sayang dan kemanusiaan yang ditinggalkan beliau.
Majlis pelancaran buku 'Laila Taib: Her Journey of Love and Compassion' yang berlangsung di Pustaka Negeri Sarawak disempurnakan oleh anak Allahyarhamah sendiri iaitu Timbalan Menteri Kesihatan Dato Hanifah Hajar Taib.
Menurut Hanifah, buku setebal 272 halaman itu menghimpunkan kisah kehidupan Allahyarhamah bermula dari zaman kanak-kanak di Poland ketika perang, asal-usul komuniti Tatar Muslim, hingga perjalanan hidup beliau ke Borneo.
"Buku yang ditulis oleh Christina Thomas-Mamora sangat istimewa dan bernilai sentimental terutama kepada kami adik-beradik kerana ia memuatkan sejarah, pengalaman serta sumbangannya yang disifatkan sebagai satu usaha bermakna, meskipun berdepan cabaran susulan pemergian ibu tercinta," katanya kepada media.
Ujar Hanifah, buku itu pada asalnya dimulakan oleh Allahyarham bersama penulis sebelum terhenti apabila beliau jatuh sakit.
“Buku ini sebenarnya telah dimulakan oleh Allahyarham ibu bersama Christina, yang menghimpunkan maklumat berkaitan sejarah asal-usul, pengalaman serta peranannya.
“Namun, apabila ibu sakit, usaha tersebut terhenti seketika namun disambung semula oleh Christina yang tentunya berdepan kesukaran, apatah lagi apabila kehilangan insan tersayang,” katanya.
Beliau berkata, usaha gigih dalam menyiapkan buku tersebut akhirnya membuahkan hasil sehingga dapat dilancarkan, sekali gus merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat.
Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah turut mengakui kelewatan penerbitan buku itu antaranya disebabkan kesukaran keluarga menerima pemergian Allahyarhamah, yang disifatkan sebagai tonggak utama keluarga.
“Kehilangan itu amat sukar diterima namun kami reda ia adalah ketentuan Allah SWT. Pada masa sama, kami cuba menguatkan semangat dengan mengingati pesanan dan inspirasi yang ditinggalkan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata antara pengajaran penting daripada kehilangan insan tersayang ialah keperluan untuk mengambil hikmah dan terus membantu golongan memerlukan.
“Jika kita tidak mampu menerima kehilangan, kita akan terus tenggelam dalam kesedihan. Namun, jika kita belajar daripadanya, kita akan lebih memahami kesusahan orang lain dan terdorong untuk membantu mereka,” katanya.
Buku tersebut turut mengetengahkan kisah peribadi termasuk pertemuan beliau dengan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Adelaide, Australia serta peranan beliau sebagai isteri kepada seorang pemimpin negeri yang berpengaruh.
“Cerita ini dihasilkan melalui akses eksklusif kepada diari peribadi, foto keluarga serta temu bual bagi memberikan gambaran mendalam mengenai kekuatan dan keperibadian Allahyarhamah,” ujarnya.
Tambahnya, biografi itu bukan sekadar dokumentasi sejarah, malah menjadi dialog antara pembaca dengan perjalanan hidup seorangwanita yang penuh ketabahan dan empati.
Majlis pelancaran turut dihadiri ahli keluarga termasuk anak-anak dan cucu Allahyarham yang berkongsi kenangan serta penghormatan kepada figura yang disifatkan sebagai tonggak keluarga dan masyarakat.
Penerbitan buku itu merupakan hasil kerjasama strategic dengan Pustaka Negeri Sarawak dalam usaha mendokumentasikan sejarah serta tokoh penting negeri untuk rujukan generasi akan datang.
Pada majlis sama, sumbangan turut disampaikan melalui Taib & Laila Heritage Charitable Trust kepada 24 pertubuhan kebajikan di Sarawak melibatkan pelbagai sektor termasuk kesihatan, pendidikan dan kebajikan masyarakat bernilai RM560,000.
Antara penerima ialah Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Cawangan Sarawak, Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak sebagai usaha berterusan memperkukuh sokongan kepada golongan memerlukan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan menjadikan kediaman Allahyarhamah sebagai muzium, beliau menyifatkan perkara itu sebagai satu usaha besar dan belum ada perancangan khusus setakat ini.
Menurut beliau, kediaman berkenaan kini hanya diselenggara oleh pasukan penyelenggaraan bagi memastikan kawasan tersebut berada dalam keadaan baik.
Turut hadir pada majlis pelancaran buku itu ialah dua anak Allahyarhamah iaitu Dato Sri Mahmud Abu Bekir Taib dan Jamilah Hamidah Taib.
Sumber : Utusan Borneo
|