
ALBUM: Julita (tiga kanan), Dr Thirunavukarasu (ketiga kiri), Dr Brandon (kanan) dan Dr Christina (kedua kanan) bersama peserta seminar.
KOTA KINABALU: Sistem kesihatan Sabah terus berdepan cabaran ketara apabila kekurangan tenaga kerja khususnya doktor semakin meningkat seiring dengan peningkatan permintaan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Datuk Julita Majungki berkata, berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), hanya 2,884 doktor kini berkhidmat di negeri ini, sedangkan keperluan dianggarkan mencecah sekitar 9,000 orang.
Katanya, jurang besar itu mencerminkan isu sistemik yang perlu ditangani segera termasuk penurunan minat terhadap profesion perubatan serta cabaran mengekalkan doktor untuk terus berkhidmat di Sabah.
“Keadaan itu turut memberi tekanan kepada sistem kesihatan apabila doktor sedia ada terpaksa menanggung beban kerja lebih tinggi, termasuk berkhidmat di kawasan pedalaman dengan kekangan kemudahan.
“Doktor bukan sahaja merawat pesakit, tetapi turut berdepan kekangan infrastruktur dan tenaga kerja. Namun, ramai yang masih kekal berkhidmat dengan komitmen tinggi terutama di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Hak dan Tanggungjawab Doktor anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Julita turut memaklumkan trend nasional yang didedahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), apabila hanya 10 peratus daripada 5,000 penempatan doktor baharu diisi pada awal tahun ini, sekali gus membimbangkan dari segi bekalan tenaga kerja masa depan.
“Ini menunjukkan penyusutan sumber bakal doktor yang akan terus memberi tekanan kepada sistem kesihatan jika tidak ditangani segera,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui masih terdapat jurang infrastruktur kesihatan di Sabah apabila sebahagian klinik dan hospital memerlukan naik taraf segera.
“Tidak dapat dinafikan Sabah masih ketinggalan dari segi infrastruktur kesihatan dan ada kawasan yang berdepan kekangan akses asas,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri telah mengemukakan perkara itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk permohonan peningkatan peruntukan serta isu berkaitan di bawah perbincangan Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau turut menegaskan keperluan menambah baik insentif kepada doktor khususnya yang berkhidmat di kawasan luar bandar termasuk semakan semula Bayaran Insentif Wilayah (BIW) serta elaun kos sara hidup.
“Ini penting untuk memastikan motivasi dan pengekalan doktor di Sabah dan Sarawak terus terjamin,” katanya.
Turut hadir, Presiden MMA, Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo; Pengerusi MMA Cawangan Sabah, Dr Brandon Patrick Senagang; serta bekas Pengarah JKNS, Datuk Dr Christina Rundi.
Sumber : Utusan Borneo
|