
CENDERAHATI: James menerima cenderahati daripada Adzman semasa kunjungan hormat.
KOTA KINABALU: Tahap pengisian guru di Sabah mencapai 98.22 peratus sekali gus menyokong kelancaran operasi sekolah di seluruh negeri.
Perkara itu dimaklumkan dalam kunjungan hormat Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) kepada Menteri di Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), Datuk James Ratib, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir Setiausaha Tetap KPSTI, Datuk Hassan Mahali bersama pegawai kanan kementerian.
Delegasi SPP diketuai Datuk Adzman Talib dan disertai Md Radzi Hashim, Datuk Dr Nuinda Alias, Intan Zainab Mohd Bustan serta pegawai lain.
Dalam sesi taklimat, SPP memaklumkan sebanyak 86.75 peratus daripada jumlah pengisian guru di Sabah terdiri daripada anak tempatan.
Perkembangan itu selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa bakat tempatan serta membina kekuatan sumber manusia pendidikan dalam kalangan rakyat Sabah.
Keadaan itu turut mencerminkan keberkesanan penyelarasan dasar serta komitmen berterusan antara kerajaan negeri dan SPP dalam memastikan keperluan tenaga pengajar sentiasa mencukupi dan berkualiti.
Dalam pada itu, perbincangan turut menyentuh aspek pengurusan perkhidmatan pendidikan termasuk pelantikan dan penempatan guru.
Fokus turut diberikan kepada keperluan memperkukuh bidang kritikal yang menyokong agenda sains, teknologi dan inovasi di Sabah.
Kunjungan itu juga mencerminkan komitmen kepimpinan negeri dalam memastikan sektor pendidikan terus diperkasa sebagai asas utama pembangunan modal insan.
Penekanan terhadap pembangunan bakat tempatan serta penguasaan bidang strategik dilihat penting bagi melahirkan generasi masa depan Sabah yang lebih berdaya saing.
Pada masa sama, SPP menegaskan komitmen untuk terus menyokong keperluan Sabah melalui pengurusan sumber manusia pendidikan yang efisien dan responsif.
Lawatan itu turut memperkukuh penyelarasan antara peringkat Persekutuan dan negeri bagi memastikan sistem pendidikan Sabah kekal maju, inklusif serta relevan dengan keperluan semasa.
Sumber : Utusan Borneo
|