Edited by Vellfire at 13-4-2026 10:34 AM

(Depan dari kiri) Hasbi, Dr Abdul Rahman, Awang Tengah, Abang Johari dan Dr Sim (dua kanan) bersama kenamaan lain memotong reben perasmian RMM Ranggau Valley.
LIMBANG: Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo bakal mempunyai tiga pesawat jet pada Julai ini untuk menghubungkan Kuala Lumpur, Singapura, Kota Kinabalu dan Jakarta.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bagi tujuan itu Sarawak juga sedang memanjangkan landasan Lapangan Terbang Limbang bagi memudahkan pesawat jenis jet yang dikendalikan AirBorneo mendarat.
“Kita menjangkakan selepas Julai ini kita akan mempunyai tiga buah pesawat jet yang akan kita hubungkan dengan Kuala Lumpur, Singapura, Kota Kinabalu dan Jakarta.
“Apa yang penting dari Kuching ke Jakarta hanya mengambil masa sekitar sejam 20 minit untuk menggalakkan pelancongan kesihatan ke Sarawak,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke IAC Limbang dan Rumah Mampu Milik (RMM) Ranggau Valley di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan tetamu kehormat lain.
Abang Johari berkata, AirBorneo akan menjadi pemangkin besar dalam industri pelancongan perubatan terutamanya dengan tambahan beberapa hospital baharu di Sarawak iaitu di Batu Lintang dan Tabuan Jaya.

AbangJohari disambut mesra Setiausaha Politik kepada Premier Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa sebaik tiba di RMM Ranggau Valley.
Ujarnya, terdapat peningkatan dari segi jumlah pesakit yang datang ke Kuching khasnya dari Indonesia untuk mendapatkan rawatan di Kuching terutama bagi penyakit sakit lutut.
"Saya percaya dengan keseluruhan pakej ini, orang ramai akan datang ke Sarawak untuk mendapatkan rawatan, lebih-lebih lagi apabila kita mempunyai syarikat penerbangan sendiri.
"Kemudian, kita boleh membawa pesakit dari Indonesia dan kawasan lain untuk mendapatkan rawatan di Sarawak," ujarnya.
Katanya lagi, Limbang dan Lawas mempunyai Projek Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) yang canggih dan moden.
"Limbang dan Lawas mempunyai pejabat pentadbiran yang canggih, ini menggambarkan pembangunan di sini bukan saja rendah karbon, malah menggabungkan warisan dan moden," katanya.
Katanya lagi, Projek RMM Ranggau Valley yang dibina berjaya mengatasi masalah rumah terbengkalai sebelum ini mengikut model perumahan Sarawak.
"Melalui IAC, RMM Ranggau Valley di kawasan Lembah Ranggau ini berjaya dibangunkan dengan kawasan komersial termasuk hotel, bangunan komersial di antara Limbang lama dan Limbang baharu.
"Pelan Induk Tempatan ini akan dihubungkan terus ke bandar Limbang dan ini satu pendekatan ke arah rendah karbon dan Limbang bertuah kerana masih banyak kawasan hijau," katanya lagi.
Sumber : Utusan Borneo
|