
Tan (tengah) dan Kho (depan, tiga kanan) serta ahli persatuan menggesa kerajaan menyediakan subsidi kepada nelayan C2 pada sidang media hari ini.
KUCHING: Pengusaha kapal laut dalam kategori C2 di Sarawak memberi amaran industri perikanan laut dalam berdepan risiko lumpuh sepenuhnya sekiranya kerajaan terus gagal menangani isu subsidi minyak yang kini menekan operasi mereka.
Pengerusi Persatuan Kapal Nelayan Sarawak (SFVA), Sibu Harry Tan berkata, ketiadaan subsidi minyak ketika harga bahan api industri melonjak hampir RM7 seliter menyebabkan sebahagian besar kapal C2 tidak lagi mampu turun ke laut.
“Sekarang hampir mencecah RM7 (untuk industri) dan dengan harga ini, kos C2 juga semakin tinggi. Jadi kita nelayan tidak dapat beroperasi lagi.
“Kapal kategori C2 yang diwajibkan beroperasi melebihi 30 batu nautika secara automatik menanggung kos bahan api yang jauh lebih tinggi, namun tidak menerima sebarang subsidi seperti sebelum ini,” katanya pada sidang media yang dihadiri Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Kho Teck Wan di sini, hari ini.
Tan berkata, keadaan itu telah menyebabkan jumlah kapal aktif merosot mendadak daripada ratusan sebelum ini kepada kurang daripada 30 buah ketika ini.
Beliau berkata, kini kurang daripada 30 kapal laut dalam kategori C2 di Sarawak masih bertahan, namun kebanyakannya terpaksa menghentikan operasi akibat kenaikan mendadak harga minyak industri.
“Walaupun lesen kapal masih dikekalkan, kebanyakan kapal tidak lagi turun ke laut kerana kos operasi yang terlalu tinggi dan tidak lagi mampu ditanggung.
“Sekarang ini kapal masih ada, lesen masih aktif, tetapi kami tidak dapat keluar ke laut. Dengan harga minyak melebihi RM7 seliter, operasi memang tidak boleh dijalankan,” katanya.
Tan turut memberi peringatan bahawa kegagalan menangani isu ini bukan sahaja menjejaskan nelayan, malah boleh mengundang krisis bekalan makanan di negeri ini.
“Apabila nelayan tidak turun ke laut, bekalan ikan tempatan akan berkurangan. Kita akan terpaksa bergantung kepada import, dan itu bermakna harga akan lebih mahal serta tidak stabil,” ujarnya.
Pada masa sama katanya, pengusaha masih terbeban dengan kos tetap termasuk gaji pekerja, makanan serta penyelenggaraan kapal walaupun operasi terpaksa dihentikan.
Sehubungan itu, mereka menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak supaya tidak lagi berlengah dan segera turun padang untuk mencari penyelesaian konkrit.
“Kami tidak menuntut yang berlebihan. Jika kerajaan dapat menyediakan sekurang-kurangnya 20,000 liter subsidi minyak bagi setiap kapal, itu sudah membantu kami untuk terus bertahan,” katanya.
Beliau menegaskan nelayan memahami cabaran kewangan kerajaan, namun menekankan bahawa industri perikanan tidak boleh terus dipinggirkan kerana ia berkait langsung dengan sekuriti makanan rakyat.
Sementara itu, Kho berkata Kerajaan Persekutuan digesa mempertimbangkan pemberian subsidi diesel kepada nelayan laut dalam kategori C2 di Sarawak yang memainkan peranan penting dalam membekalkan ikan ke pasaran tempatan.
Beliau berkata, golongan itu tidak pernah mendesak bantuan secara melampau, sebaliknya hanya memohon sokongan selepas kos operasi meningkat di luar kemampuan.
“Mereka bukan baru minta subsidi. Sudah lama mereka bertahan tanpa bantuan, tetapi dengan harga diesel sekarang, ramai sudah mula menghentikan operasi,” katanya.
Beliau menjelaskan kapal C2 beroperasi di laut dalam melebihi 30 batu nautika seperti yang ditetapkan, berbeza dengan bot kecil yang menangkap ikan berhampiran pesisir pantai.
Selain itu, beliau turut menjelaskan nelayan C2 di Sarawak berdepan cabaran lebih besar berbanding Semenanjung kerana perlu bergerak lebih jauh ke laut untuk menangkap ikan.
“Di Sarawak, mereka perlu pergi sehingga 30 batu nautika, berbanding jarak lebih dekat di Semenanjung. Ini bermakna penggunaan diesel jauh lebih tinggi,” jelasnya.
Sidang media itu turut dihadiri Persatuan Pengusaha Kapal Pukat Tunda Bahagian Kuching diwakili Setiausahanya Kho Swee Seng dan Bendahari Law Thin Choon.
Sumber : Utusan Borneo
|