
Tiang (dua kiri) bersama pasukan peguam ketika melawat keluarga mendiang Joey di Permai Jaya, hari ini.
SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee tampil membantu keluarga mangsa lemas, mendiang Joey Ling, dengan menubuhkan pasukan guaman bagi mengambil tindakan undang-undang susulan tragedi berkayak di Kedah baru-baru ini.
Menurutnya, usaha tersebut telah dimulakan dengan mengadakan perbincangan bersama beberapa peguam yang bersedia memberikan khidmat secara profesional bagi mewakili keluarga mangsa.
"Saya telah berbincang dengan para peguam dan berharap mereka dapat bergabung untuk membantu keluarga mangsa secara profesional.
"Niat saya adalah untuk menubuhkan satu pasukan guaman bagi menyokong mereka dalam kes ini," ujarnya ketika melawat kediaman keluarga mendiang di Permai Jaya, di sini, hari ini.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk menyumbang sebanyak RM10,000 sebagai dana permulaan bagi menampung kos guaman serta perbelanjaan berkaitan.
Dalam pada itu kata Tiang, Kementerian Pendidikan serta agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan dan penilaian terhadap insiden berkenaan.
"Kita akan memberi ruang kepada pihak berkenaan untuk menjalankan siasatan dan penilaian, namun pada masa sama pasukan guaman ini akan membantu keluarga mendapatkan keadilan melalui saluran sewajarnya," jelasnya.
Tragedi yang meragut nyawa dua orang pelatih guru ketika menjalani aktiviti berkayak di Kedah itu mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap pematuhan aspek keselamatan serta sikap tanggungjawab pihak terlibat.

Tiang bersama pasukan peguam berbincang dengan keluarga mendiang Joey di Permai Jaya, hari ini.
Sumber : Utusan Borneo
|